ARTIKEL

Pemimpin berjiwa merdeka

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Kebebasan ialah satu nilai yang amat mahal dalam kehidupan manusia, kerana sejarah telah membuktikan bahawa ia sering dibayar dengan peluh, air mata dan darah.

Tiada istilah kebebasan jika ia tidak datang bersama perjuangan, dan tiada kedaulatan serta martabat tanpa pengorbanan.

Perjuangan dalam menuntut kebebasan tidak semestinya bermula dengan mengangkat senjata; ada kalanya ia dilakukan melalui rundingan di meja bulat.

Dalam banyak hal, ia lahir daripada akal yang enggan tunduk, jiwa yang tidak rela dikawal, dan keyakinan bahawa takdir tidak semestinya ditentukan oleh penjajah.

Ramai pejuang dalam sejarah tidak menjerit di medan perang; sebaliknya, ada yang mencorak masa depan melalui pendidikan, prinsip dan keberanian untuk tidak bersetuju.

Di tanah yang dipisah laut, sungai dan gunung seperti Sarawak, perjuangan itu sering sunyi dan tidak dicatat dalam buku teks, tidak dimasyhurkan dalam naratif arus perdana, namun tanpa mereka, negeri ini tidak akan sampai ke titik yang dinikmati hari ini.

Pada setiap 22 Julai, Sarawak memperingati detik bersejarah apabila pentadbiran negeri diserahkan daripada British kepada rakyat tempatan pada 1963.

Ia dikenali sebagai Hari Sarawak, iaitu satu sambutan yang bukan sahaja menandakan permulaan pemerintahan sendiri, tetapi juga menjadi ruang untuk menilai semula siapa yang menyumbang kepada perjalanan menuju kebebasan itu.

Hari Sarawak bukan sekadar perayaan; ia juga merupakan ruang untuk mengenang dan menilai semula tokohtokoh yang membuka jalan kepada pembentukan identiti negeri hari ini.

Salah seorang tokoh tersebut ialah Tun Ahmad Zaidi Adruce, Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima, yang kehidupan dan perjuangannya mencerminkan kebangkitan pemikiran serta harga diri anak Borneo.

Beliau dilahirkan pada 29 Mac 1924 di atas sebuah bot di Sungai Rajang, berdekatan Kampung Semop, Sibu.

Sejak kecil, Ahmad Zaidi diasuh oleh keluarga yang rapat dengan sejarah perjuangan.

Beliau membesar di bawah jagaan Sharifah Mai, cucu kepada Sharif Masahor, iaitu tokoh penentang penjajah dalam sejarah Sarawak.

Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Chung Hua dan Sekolah Abang Ali, sebelum menyambung pelajaran di St. Thomas, Kuching, dan AngloChinese School di Singapura.

Pada ketika itu, beliau merupakan satu-satunya pelajar bumiputera yang lulus peperiksaan Cambridge, sesuatu yang sangat jarang berlaku pada zaman penjajahan.

Pada awal 1940-an, Ahmad Zaidi diterima masuk ke Sultan Idris Training College (SITC), Tanjung Malim.

Namun, pengajiannya terhenti akibat Perang Dunia Kedua. Beliau kemudiannya dibawa ke Bogor, Indonesia, untuk mengikuti pengajian dalam bidang veterinar.

Pengalaman di Indonesia membuka matanya terhadap gerakan nasionalisme, ketika rakyat republik itu mula bangkit menentang Belanda.

Pemikiran ini dibawa pulang ke tanah air dan kekal menjadi sebahagian  penting dalam perjalanan hidupnya.

Pada 1949, Ahmad Zaidi menerima biasiswa daripada kerajaan kolonial British untuk melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK). Beliau memasuki Robert Gordon Technical College di Aberdeen, kemudian menyambung pelajaran di University of Edinburgh.

Pada 1953, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kesenian (MA) dalam bidang Ekonomi Politik, menjadikannya antara bumiputera Sarawak pertama yang berjaya mencapai tahap pendidikan sedemikian di Britain.

Dua tahun kemudian, beliau menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan di University of London dan dianugerahkan Sijil Pendidikan, bukannya ijazah sarjana seperti yang sering disalah anggap.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Batu Lintang.

Dalam masa yang sama, beliau menubuhkan Unit Pengakap Laut untuk melatih golongan muda agar lebih berdisiplin dan bersemangat waja.

Gagasan serta tulisantulisannya yang tegas mengenai masa depan Sarawak, termasuk pendiriannya terhadap keadilan dan hak kaum bumiputera, menjadikannya tokoh yang dianggap berbahaya oleh pihak kolonial.

Beliau terpaksa bermastautin di Indonesia selama beberapa tahun sehingga akhirnya diberikan pengampunan dan dibenarkan pulang ke Sarawak pada 1969.

Walaupun tidak menyertai arus politik secara langsung, Ahmad Zaidi dikenali sebagai seorang yang berprinsip dan lantang dalam isu pendidikan serta keadilan sosial.

Ketegasannya menjadikan beliau disegani oleh pelbagai pihak, termasuk dalam kalangan mereka yang berbeza pandangan.

Pada 2 April 1985, beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima.

Beliau memegang jawatan tersebut sehingga hari pemergiannya pada 5 Disember 2000, menjadikannya pemegang jawatan paling lama dalam sejarah negeri.

Dalam tempoh tersebut, beliau dikenang bukan kerana retorik atau kempen, tetapi kerana sikapnya yang sederhana, berwibawa, dan terus bersuara demi perpaduan negeri.

Hari Sarawak seharusnya menjadi ruang untuk mengangkat kembali jasa tokoh seperti Tun Ahmad Zaidi.

Namanya mungkin terpahat pada nama jalan dan institusi pendidikan, namun sumbangannya jauh lebih besar daripada sekadar sebuah prasasti.

Beliau ialah simbol bahawa pendidikan, prinsip, dan keberanian boleh membawa anak Borneo ke pentas yang setara dengan sesiapa sahaja, di mana-mana jua.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU