KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang lelaki tempatan kerana mencuri sebuah motosikal.
Mohd Sharul, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha milik seorang lelaki berusia 42 tahun di hadapan sebuah bank di Jalan Rock, sekitar jam 11.29 malam, 22 Ogos 2023.
Oleh itu, Mohd Sharul didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, pada 23 Ogos 2023, sekitar jam 10.10 malam di kaki lima sebuah bangunan bank di Jalan Rock, pengadu menyedari motosikal yang diletakkan dalam keadaan berkunci telah hilang.
Laporan polis terus dibuat untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh.
Anggaran kerugian yang dialami pengadu sekitar RM8,000.
Hasil siasatan mendedahkan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) menunjukan aksi tertuduh sedang mencuri motosikal pengadu.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



