MIRI: Seorang lelaki berusia 26 tahun maut setelah motosikal ditungganginya terlibat dalam satu kejadian kemalangan kendiri di Jalan Kuala Baram (Lorong Perindustrian Senadin 1B) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan yang melibatkan motosikal jenis Yamaha 135LC itu disahkan berlaku pada jam lebih kurang 8.45 malam.
“Hasil siasatan mendapati motosikal disyaki datang dari arah Senadin dan menghala ke rumah mangsa yang terletak di Permyjaya.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa disyaki telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kanan dan terjunam ke dalam parit.
“Impak dari kemalangan tersebut, motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk pada keseluruhan bahagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu katanya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Miri.
Berdasarkan laporan yang dibuat, pihak polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.





