ARTIKEL

Wan Sufian berucap merasmikan penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah-Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS (Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship) di Paragon Bintulu pada Sabtu.

Pemuliharaan marin bukan penghalang pembangunan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Pembangunan pesat sektor perindustrian di Bintulu perlu diseimbangkan dengan usaha pemuliharaan ekosistem marin bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Sarawak tidak menjejaskan kelestarian alam sekitar, khususnya kawasan pesisir pantai dan sumber laut.

Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Wan Sufian Wan Mustapha, berkata Bintulu, sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi dan perindustrian utama di Sarawak, mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan aspek pemeliharaan alam sekitar diberi perhatian dalam setiap perancangan pembangunan.

Wan Sufian merakam gambar bersama peserta Program STEM Fair Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah-Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS (Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship) di Paragon Bintulu pada Sabtu.

Menurutnya, ekosistem marin bukan sahaja penting dalam mengekalkan biodiversiti, malah menjadi sumber kehidupan masyarakat pesisir pantai serta menyokong kelangsungan sektor perikanan.

Beliau berkata, usaha pemuliharaan marin tidak seharusnya dilihat sebagai penghalang kepada pembangunan ekonomi, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negeri bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati secara mampan oleh generasi akan datang.

“Kita perlu terus menggalakkan pendekatan yang membolehkan pembangunan dan pemuliharaan bergerak seiring. Ini memerlukan perancangan yang baik, penggunaan ilmu dan teknologi serta kerjasama antara kerajaan, sektor industri, institusi pendidikan dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin Bersama Sekolah-Sekolah Menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS (Coral Reef and Reef Ball for Ecosystem Enhancement and Stewardship) di Paragon Bintulu, di sini, pada Sabtu.

Program anjuran Sarawak Forestry Corporation (SFC) dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) itu bertujuan meningkatkan kesedaran generasi muda terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem marin menerusi pendekatan pendidikan STEM.

Sufian berkata, tanggungjawab memelihara khazanah laut memerlukan komitmen bersama dan tidak boleh diserahkan kepada kerajaan atau agensi berkaitan semata-mata, sebaliknya turut menuntut penglibatan aktif sektor industri, institusi pendidikan serta masyarakat setempat.

Katanya, kerjasama strategik antara semua pihak penting bagi memastikan setiap aktiviti pembangunan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap alam sekitar, selain menggalakkan penggunaan ilmu pengetahuan, penyelidikan dan teknologi dalam memperkukuh usaha pemuliharaan.

Dalam konteks itu, beliau menyifatkan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pendekatan penting untuk melahirkan generasi muda yang bukan sahaja memahami cabaran alam sekitar, malah berupaya menghasilkan idea dan penyelesaian inovatif.

Menurutnya, ilmu yang diperoleh di sekolah perlu diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal terhadap isu sebenar, termasuk cabaran pemuliharaan ekosistem marin dan perubahan persekitaran.

Justeru, beliau berharap COREEFS STEM Fair 2026 dapat mendorong lebih ramai pelajar meneroka bidang STEM serta memahami bahawa usaha memelihara ekosistem marin memerlukan kepakaran daripada pelbagai disiplin ilmu.

Beliau berkata, golongan muda berpotensi menjadi saintis marin, jurutera, penyelidik, usahawan teknologi dan pemimpin masa depan yang mampu memperkenalkan pendekatan baharu dalam memastikan pembangunan Sarawak terus berlandaskan prinsip kelestarian.

Beliau berkata, aspirasi itu selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan tiga tonggak utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, pembangunan modal insan serta penguasaan ilmu pengetahuan perlu terus diperkukuh bagi mempersiapkan rakyat menghadapi peluang dan cabaran masa depan, termasuk memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dengan pemeliharaan sumber semula jadi.

Beliau berharap kerjasama menerusi Projek COREEFS dapat diteruskan dan diperluas bagi membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda mendalami bidang STEM, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan melindungi ekosistem marin.

“Marilah kita bersama-sama memastikan bahawa kemajuan yang kita bina hari ini turut menjaga khazanah alam yang akan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu muncul johan Pertandingan Cabaran Inovasi STEM, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong 2 pula dipilih sebagai johan Pertandingan Kuiz Pengetahuan Marin.

BERITA LAIN

Waspada tempahan palsu guna nama penjawat awam Sarawak

KUCHING: Orang awam diingatkan supaya berwaspada terhadap kegiatan penipuan yang menyalahgunakan identiti anggota perkhidmatan awam Sarawak bagi memperdaya mangsa supaya membuat tempahan barangan pejabat dan

BERITA TERBARU

Profesional muda GPS perkukuh semak dan imbang dalaman

KUCHING: Penglibatan golongan profesional muda daripada pelbagai bidang dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpotensi memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalaman bagi memastikan pentadbiran kerajaan sentiasa