KUCHING: Seorang penagih dadah dijatuhi hukuman penjara satu tahun dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kerana mencuri dua pasang rim kereta jenis Honda, Khamis lalu (8 Januari).
Harryson Jhango, 28, dari Kampung Kandis Baru itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia bersama seorang lagi rakannya didakwa di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mereka didakwa mencuri sepasang rim kereta jenis Honda Civic milik seorang lelaki berusia 35 tahun di sebuah pangsapuri mewah di Batu Kawa, sekitar jam 4.59 petang, 8 Januari lalu.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pengawal keselamatan terserempak dengan dua orang lelaki sedang mencuri rim kereta lalu memasukkan ke dalam sebuah kereta Proton Saga.
Tertuduh dan rakannya berjaya ditangkap dan laporan polis dibuat ke atas mereka.
Barang-barang turut dirampas daripada mereka seperti sebuah kereta Proton Saga, serangkai kunci dan sepasang rim kereta.
Hasil siasatan, mereka telah mencuri sepasang rim kereta milik mangsa lelaki berusia 35 tahun.
Sementara rakan sejenayah tertuduh Chai Wee Tong, 22, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama dikenakan ke atas tertuduh.
Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 2 Mac 2026.
Chai dibebaskan dengan jaminan tunai RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu sebutan semula kes.
Dalam mahkamah yang sama juga, Harryson berhadapan hukuman penjara enam bulan, selepas mengaku bersalah terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



