KUCHING: Seorang penagih dadah dijatuhi hukuman denda RM4,500 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki harta curi segulung kabel elektrik dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Phang Sian Guan, 35, dari Siburan, membuat pengakuan itu sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibacakan secara bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana memiliki harta curi kabel elektrik di sebuah rumah di Kampung Cemerlang, kira-kira jam 5.20 petang, 12 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Manakala, pertuduhan kedua, Sian Guan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 Akta yang sama, kerana memasukan dadah terlarang jenis Amphetamine dan Methamphetamine ke dalam badannya.
Dia melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching, kira-kira jam 6 petang, 22 Oktober 2022.
Mason Jaro menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara terhadap tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang Manakala tertuduh tidak diwakili peguam.






