KUCHING: Bagai tidak serik dengan kesilapan lepas, seorang lelaki tempatan yang memiliki tiga rekod kesalahan lampau berkaitan dadah telah ditahan polis di di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub di sini, pada Selasa lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan susulan penemuan 38.25 gram bahan terlarang disyaki jenis syabu yang bernilai RM7,650.
“Suspek telah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kuching sekitar jam 3.15 petang ketika pasukan membuat serbuan di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mengulas lanjut Ashmon berkata, suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes dadah dan didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek kini katanya, direman selama enam hari sehingga 20 Februari depan dan ditahan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan,” katanya.



