ARTIKEL

Logo Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).

Penamatan sewa PPR Bandaria Park ikut garis panduan ditetapkan, kata HDC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menegaskan bahawa tindakan penamatan sewa di Program Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park yang tular di media sosial baru-baru ini dilaksanakan mengikut garis panduan dan syarat penyewaan yang ditetapkan.

Menurut kenyataan media HDC, pengurusan PPR sewa dilakukan secara telus dan berhemah bagi memastikan bantuan perumahan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya keluarga berpendapatan rendah dan golongan B40.

Kenyataan itu menyebut, program PPR diwujudkan sebagai penempatan sementara kepada keluarga yang menduduki tanah kerajaan serta mereka yang belum mampu memiliki rumah sendiri, dengan kadar sewa yang rendah dan mampu dibayar.

“Tempoh maksimum penyewaan yang ditetapkan adalah selama 10 tahun dan semakan kelayakan penyewa dilaksanakan secara berkala,” menurut kenyataan itu hari ini.

HDC menjelaskan bahawa proses semakan dibuat bagi memastikan bantuan tersebut terus dinikmati oleh mereka yang layak, selain memberi peluang kepada keluarga lain yang masih memerlukan bantuan perumahan sewa.

Antara aspek yang dinilai dalam proses penyambungan sewa termasuklah tempoh penyewaan, pendapatan isi rumah, pemilikan rumah atau tanah, rekod bayaran sewa dan utiliti serta pematuhan syarat penyewaan.

Menurut kenyataan itu lagi, setiap permohonan penyambungan sewa akan diteliti secara kes demi kes oleh Jawatankuasa Khas Kelulusan Penyewaan Perumahan (SHTAC).

“Jawatankuasa turut mengambil kira faktor kebajikan seperti masalah kesihatan, kehilangan pendapatan dan tanggungan keluarga sebelum sebarang keputusan dibuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, HDC memaklumkan bahawa peningkatan permohonan PPR menunjukkan masih ramai keluarga memerlukan bantuan perumahan sewa di negeri ini.

Sehubungan itu, notis penamatan atau pengosongan rumah yang dikeluarkan adalah sebahagian daripada proses pengurusan penyewaan dan semakan kelayakan semasa, bukannya bertujuan untuk menyusahkan mana-mana pihak.

HDC turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat berkaitan polisi dan pengurusan PPR hendaklah dirujuk terus kepada pihak HDC bagi mendapatkan penjelasan yang sahih.

“HDC kekal komited melaksanakan pengurusan perumahan rakyat secara adil, telus dan berhemah demi kebajikan rakyat, khususnya golongan B40,” katanya.

TAMAT

BERITA LAIN

BERITA TERBARU