ARTIKEL

Penanaman kenaf diperluas ke Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sedang meluaskan kerjasama penanaman kenaf dengan Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Sarawak di Daerah Ulu Sebauh, Bintulu berkeluasan 2,000 hektar.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata LKTN akan menjalinkan kerjasama dengan agensi dan anak syarikat di bawah seliaan MFICORD untuk menerokai konsep ladang kluster dan pembangunan berorientasikan swasta melalui syarikat tempatan yang berminat membangunkan tanaman kenaf sebagai sumber ekonomi baharu.

“Saya berharap usaha ini tidak terhenti di peringkat penanaman sahaja namun terus ke arah industri hiliran,” katanya ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas LKTN, semalam.

Menurutnya bagi tempoh 10 tahun akan datang, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) telah digubal sebagai polisi pembangunan sektor komoditi negara dan kenaf ditakrifkan sebagai fiber semula jadi.

Justeru, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kementeriannya melalui LKTN akan memberi fokus pembangunan kenaf sebagai sumber bahan mentah alternatif di samping fiber lain seperti buluh, nanas, pisang, sawit dan sebagainya.

“Saya yakin potensi industri fiber semula jadi dan biojisim di Malaysia yang merangkumi kenaf mampu berkembang dengan jayanya dan bergerak jauh ke hadapan selaras dengan kehendak global pada masa ini yang menekankan aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tatakelola (ESG),” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kementeriannya melalui LKTN turut memperkasakan usaha Program Pelaksanaan Pelesenan Dan Penguatkuasaan Tembakau sebagai antara usaha untuk mencegah pengedaran tembakau dan keluaran tembakau secara tidak sah.

Beliau menambah kolaborasi dan tindakan bersama agensi penguatkuasaan lain telah diadakan bagi meningkatkan keberkesanan agensi kerajaan.

Sementara, Fadillah berkata sejak kenaf diperkenal pada tahun 2010, industri itu telah berjaya menghasilkan panel Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang telah mendapat kelulusan daripada SIRIM dan piawaian antarabangsa selain lebih ekonomik, praktikal, mesra alam sekitar dan tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai.

Katanya sehingga kini, beberapa projek seperti pembinaan rumah generasi kedua warga FELDA telah menggunakan IBS Kenaf.

Selain itu, beliau berkata industri kenaf telah ditambah nilai daripada hanya membekalkan bahan mentah dan mengeksportnya ke China, Korea Selatan dan Thailand kepada mengeluarkan produk bukan tenunan seperti tilam, bantal, cadar dan lain-lain produk dengan jenama tersendiri serta berkualiti.

LAIN-LAIN BERITA

Lelaki maut, jatuh Jambatan Batang Salak

KUCHING: Seorang lelaki menemui ajal selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Batang Salak, Jalan FAC di sini, hari ini. Komander Operasi PBK II

BERITA TERBARU

Azman Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan baharu

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan, dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa Selasa, demikian menurut Kementerian Pendidikan (KPM). Kementerian