KUCHING: Penerimaan terhadap pencalonan Datuk John Sikie Tayai sebagai Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) bergantung kepada hala tuju kempen, ucapan dasar serta strategi yang dibawa menjelang pemilihan parti akan datang.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Novel Lyndon, berkata jika beliau (Sikie) dilihat rapat dengan pimpinan sedia ada dan mengekalkan dasar presiden kini, pencalonan itu akan membawa mesej kestabilan serta kesinambungan.
“Namun, sekiranya John Sikie tampil dengan visi baharu, gaya kepimpinan segar atau mewakili generasi kepimpinan lain dalam PRS termasuk Undi18, pencalonannya mungkin dianggap sebagai usaha membawa perubahan kepada parti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keputusan Presiden PRS, Datuk Joseph Salang Gandum, yang tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang, seterusnya mencadangkan Naib Presiden, Datuk Seri John Sikie Tayai, untuk menggantikannya.
Katanya lagi, keputusan Datuk Joseph Salang untuk tidak mempertahankan jawatan presiden membuka ruang kepada kepimpinan baharu yang berpotensi membawa perubahan dalam gaya kepimpinan, strategi pilihan raya, hubungan dengan kerajaan Sarawak dan persekutuan serta penyertaan generasi muda dalam parti.
“Sejauh mana perubahan itu berlaku bergantung kepada siapa yang menggantikan beliau dan sama ada kepimpinan baharu meneruskan legasi atau membawa pembaharuan berdasarkan geopolitik semasa serta suara akar umbi,” jelasnya.
Mengulas implikasi pemilihan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, Novel menegaskan kepimpinan baharu PRS akan menentukan calon, strategi kempen dan naratif parti kepada pengundi.
“Persepsi pengundi terhadap kestabilan serta perpaduan parti sangat penting. Jika berlaku perpecahan dalaman, ia boleh melemahkan jentera dan mengurangkan keyakinan pengundi, terutama golongan muda.
“Tetapi jika pemilihan berjalan lancar serta melahirkan pemimpin berwibawa, ia akan mengukuhkan kedudukan PRS menjelang PRN,” katanya.
Beliau menambah beberapa langkah strategik boleh diambil kepimpinan baharu, termasuk memastikan perpaduan dalaman, menampilkan calon berwibawa dan berintegriti, mengukuhkan hubungan dengan GPS, mendekati pengundi muda melalui teknologi moden serta memberi perhatian kepada isu tempatan.



