Baru-baru ini, perbincangan di platform Threads menunjukkan masih ramai yang menganggap in uencer (pempengaruh) dan content creator (pencipta kandungan) sebagai perkara yang sama.
Kedua-dua istilah ini digunakan secara berganti-ganti seolah-olah tiada perbezaan antara keduanya. Kedua-duanya memang bergerak dalam ekosistem digital sama, tetapi fungsi, matlamat dan nilai yang dibawa tidak semestinya serupa.
Perbezaan paling mudah ialah pempengaruh mempunyai kekuatan utama pada keupayaan mempengaruhi pengikut, manakala pencipta kandungan pula mempunyai kekuatan utama pada kebolehan menghasilkan kandungan.
Seorang pempengaruh biasanya membina hubungan yang begitu kuat dengan pengikut sehingga pandangan, gaya hidup, pilihan produk atau tindakannya mampu mempengaruhi keputusan orang lain.
Di Malaysia, personaliti seperti Neelofa dan Aisar Khaleed boleh dilihat sebagai contoh yang mudah bagi memahami konsep pempengaruh.
Mereka mempunyai khalayak yang besar dan setiap perkongsian berkaitan gaya hidup, produk atau aktiviti tertentu berpotensi mendapat perhatian serta mempengaruhi pengikut.
Apabila seorang pempengaruh mencadangkan restoran, pengikut mungkin mahu mencubanya.
Apabila dia memakai sesuatu jenama, orang mungkin terdorong untuk membeli.
Pemasaran
Dalam konteks pemasaran, kekuatan mereka ialah kepercayaan, capaian dan hubungan dengan audiens.
Pencipta kandungan pula lebih berpusat pada hasil kerja.
Mereka menghasilkan video, fotogra , ilustrasi, ulasan, dokumentari pendek, kandungan pendidikan, audio siar, penulisan, animasi atau kandungan hiburan.
Sofyank, misalnya, lebih mudah difahami sebagai pencipta kandungan kerana identitinya dibina melalui kemahiran menghasilkan video kesan visual atau VFX yang kreatif.
Nilai utamanya bukan sekadar jumlah pengikut, tetapi kemahiran teknikal, kreativiti serta mutu hasil kandungan yang dihasilkan.
Begitu juga Jason Chen yang dikenali menerusi kandungan makanan, ulasan dan vlog.
Daya tarikannya banyak bergantung pada gaya penceritaan, personaliti serta kemampuan mengubah sesuatu pengalaman biasa menjadi kandungan yang menghiburkan.
Namun, perkara yang sering mengelirukan orang ramai ialah sempadan antara kedua-duanya tidak sentiasa jelas.
Ambil Khairul Aming sebagai contoh.
Beliau bermula dan membina kekuatan melalui kandungan masakan serta video resipi yang mempunyai identiti tersendiri.
Dari sudut itu, beliau jelas seorang pencipta kandungan.
Namun, apabila jumlah pengikut semakin besar dan kepercayaan terhadap dirinya meningkat, pengaruhnya turut berkembang.
Apa-apa yang diperkenalkan atau dijual mampu mencetuskan perhatian luar biasa.
Maka, Khairul Aming kini boleh dianggap sebagai pencipta kandungan yang dalam masa yang sama mempunyai pengaruh besar terhadap audiens.
Kategori
Jenn Chia juga contoh yang baik.
Beliau dikenali sebagai pencipta kandungan, tetapi dalam masa sama mempunyai pengaruh tersendiri dalam bidang media sosial, hiburan dan pengiklanan. Ini menunjukkan seseorang tidak semestinya terikat kepada satu kategori sahaja.
Masalahnya, kita terlalu mudah melabel semua orang yang popular di media sosial sebagai pempengaruh. Seseorang yang mempunyai 500,000 pengikut belum tentu mampu mempengaruhi keputusan pengikutnya.
Begitu juga seseorang yang mempunyai 50,000 pengikut mungkin memiliki komuniti yang sangat setia dan mempercayai setiap cadangannya.
Jumlah pengikut bukan segala-galanya.
Begitu juga seorang pencipta kandungan tidak semestinya terkenal.
Ada juruvideo, jurugambar, pereka gra k atau pengulas teknologi yang menghasilkan kandungan sangat berkualiti, tetapi tidak menjadikan kehidupan peribadi mereka sebagai sebahagian daripada jenama.
Dalam dunia pemasaran, perbezaan ini penting. Jika sebuah syarikat mahu menghasilkan video kempen yang kreatif dan berkualiti, mereka mungkin lebih memerlukan pencipta kandungan.
Jika matlamatnya mahu meningkatkan kesedaran jenama atau mempengaruhi keputusan pembelian dalam komuniti tertentu, pempengaruh mungkin lebih sesuai.
Jika mahu kedua-duanya, carilah individu yang mempunyai kemahiran menghasilkan kandungan dan pada masa sama mempunyai kepercayaan audiens.
Sebab itu, tidak tepat untuk mengatakan setiap pencipta kandungan ialah pempengaruh atau setiap pempengaruh ialah pencipta kandungan yang hebat.
Pencipta kandungan dinilai melalui video yang dihasilkan.
Pempengaruh pula dinilai melalui sejauh mana pengaruhnya terhadap orang lain.



