Pencuci kereta ditahan miliki dadah seberat 267.16 gram

KUCHING: Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak berjaya merampas dadah jenis estacy seberat 267.16 gram hasil serbuan di kediaman kawasan Kampung Semariang Jaya, Phase 2, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supt Hasnir Abdul Hamid berkata serbuan dilakukan sekitar jam 9.40 pagi hasil maklumat yang diperolehi pasukan risikannya terhadap kegiatan terbabit.

Menurutnya, kesemua rampasan tersebut dipercayai milik seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun.

“Seorang lelaki yang mengaku sebagai pencuci kereta telah ditahan di ruang tamu kediaman tersebut.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai lapan peket plastik berisi serbuk estacy seberat 267.16 gram dianggarkan bernilai RM3,150 di dalam sebuah beg pada badan suspek,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek turut disahkan positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine hasil saringan air kencing yang dilakukan terhadapnya.

Dedahnya, hasil semakan rekod lampau menyatakan suspek pernah terlibat jenayah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hasnir menambah, suspek yang diluluskan reman tujuh hari itu telah dibawa ke pejabat JSJN Ibu Pejabat Kontijen Sarawak untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tegasnya, jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Suara Sarawak