KUCHING: Gara-gara mencuri seunit beg sandang dalam sebuah pasar raya di Jalan Wan Alwi menyebabkan seorang pencuri lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Mohd Azizi Sulaiman, 30, dari Kampung Tabuan, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.
Mengikut pertuduhan, dia dan seorang lagi yang masih bebas didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Mereka melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Jalan Tabuan Jaya, sekitar jam 2.15 petang, 10 Jun lepas.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, dan juga boleh didenda, dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya, hendaklah dihukum dengan penjara dan juga boleh didenda atau disebat.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian, sepasang pelanggan masuk ke dalam melihat barang jualan lalu membeli topi menggunakan pembayaran atas talian sebanyak RM25.00 lalu beredar dari pasar raya itu.
Apabila kembali ke kaunter, pengadu merupakan pemilik kedai menyedari beberapa barang telah hilang.
Pemeriksaan pada rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) mendapati pasangan tersebut telah mengambil satu beg silang dan dua unit beg dompet dengan memasukkan ke dalam beg sandang.
Laporan polis dibuat dan siasatan lanjut seterusnya telah membawa kepada penangkapan tertuduh pada 12 Jun lepas.
Hasil siasatan mendapati tertuduh telah mencuri seunit beg silang milik pengadu dan semasa ditangkap barang kes ada bersama tertuduh.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



