PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.
Beliau berkata, kenaikan itu melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
“Kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus. Kenaikan terbaik dalam sejarah oleh Kerajaan MADANI,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.
“Pada masa ini jumlah pendapatan minimum, meliputi gaji dan elaun tetap penjawat awam sedia ada adalah RM1,795 sebulan,” kata Perdana Menteri.
Anwar berkata, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus kira-kira 12 tahun lepas, namun Kerajaan MADANI akan memastikan jumlahnya lebih tinggi daripada itu.
“Maka kita akan laksanakan lebih 13 peratus kenaikan mulai Disember tahun ini, sebab saya sudah berjanji,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas mengumumkan SSPA akan dilaksana sepenuhnya mulai 2025.



