KUCHING: Kejohanan HELAZ XCO Mountain Bike Series 2024 (Siri 1) yang berlangsung di Bukit Chatak Xco Trail Dungun, Terengganu baru-baru ini memberi impak yang cukup signifikan kepada pelumba Sarawak.
Seramai 120 orang pelumba terlibat dalam saingan dua hari (19 & 20 April) itu.
Tidak hanya pelumba handalan dari negeri-negeri sedia ada malah wakil dari tiga negara jiran lain iaitu Singapura, Indonesia dan Filipina.
Apa yang jelas, tujuh pelumba muda yang berada dalam skuad bayangan Sukma Sarawak turut serta pada perlumbaan tersebut.
Peluang terbaik bagi mereka meraih pengalaman, selain landasan untuk meningkatkan prestasi diri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Awang Putrayusrie Awang Redzuan kesempatan terbaik bagi pelumba muda kita untuk memperbaiki prestasi diri.
Selain, pada masa sama dapat membentuk persefahaman, kerjasama dan semangat berpasukan sesama mereka.
“Kita percaya pengalaman baharu telah diperoleh pelumba muda sepanjang dua hari bersaing dalam perlumbaan tersebut.
“Diharap ia akan dapat membentuk persefahaman cukup hebat dan mampu dijadikan penanda aras terbaik buat pelumba tatkala bersaing di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024,” ujar Awang Putrayusrie.
Sementara itu, tamat saingan menyaksikan hanya seorang pelumba Sarawak yang berjaya menaiki podium.
Mohd Zakwan Zamahari yang berjaya menduduki tempat ketiga (XCO Men Junior). Berbanding Muhammad Fiqri Iqbal Kadir yang menduduki tempat keenam kategori sama.
Dalam pada itu, Safyia Said dan Nurfara Ain Nabiela Abdullah Hafiz masing-masing menduduki tempat ke-10 dan ke-11 (XCO Women Elit).
Kedua-dua pelumba terbabit (Safyia Said & Nurfara Ain Nabiela Abdullah Hafiz) turut menduduki tempat ke-5 dan ke-8 kategori (XCO Women Under 23).
Sambil, Aidil Syahmizan Abdul Rahim menduduki tempat ke-5 (XCO Men Under 23)
Perlumbaan tersebyt dianjur oleh HELAZ dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).





