ARTIKEL

Pendekatan Terancang Dalam Pengurusan Sumber Asli di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendekatan pengurusan sumber asli di Sarawak tidak lagi boleh bersifat reaktif, sebaliknya memerlukan tindakan lebih terancang berpandukan sains, disokong dasar yang jelas serta diperkukuh melalui pelibatan masyarakat.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, tekanan ekosistem kini semakin meningkat susulan perubahan guna tanah, eksploitasi sumber secara tidak terkawal, perubahan iklim serta kehilangan habitat.

“Dalam keadaan sedemikian kerajaan sentiasa memberi perhatian dalam usaha memperkukuh tadbir urus alam sekitar dan pengurusan sumber asli secara lebih bersepadu.

“Ini termasuk keperluan untuk memastikan pembangunan dan pemuliharaan berjalan secara seimbang,” katanya pada Sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia 2026 di Pusat Hidupan Liar Matang, di sini, semalam.



Mengulas lanjut ujarnya, keseimbangan tersebut amat penting kerana Sarawak memerlukan kemajuan, namun dalam masa yang sama tidak boleh mengorbankan khazanah alam yang menjadi identiti serta kelebihan daya saing wilayah ini.

“Peranan institusi seperti Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) amat signifikan dari sudut penguatkuasaan dan pengurusan kawasan perlindungan.

“Malah turut berperanan sebagai penghubung antara dasar kerajaan, kepakaran teknikal dan pelibatan masyarakat di lapangan. Model kerjasama seperti inilah yang perlu terus diperkasa,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menekankan komuniti setempat perlu dilihat sebagai rakan kongsi utama dalam agenda pemuliharaan.

“Pengalaman dan pengetahuan tempatan termasuk amalan tradisional berkaitan tumbuhan ubatan serta penggunaan sumber alam, mempunyai nilai yang besar.

“Apabila digabungkan dengan pendekatan saintifik dan pengurusan moden, kita boleh membentuk model pemuliharaan yang lebih inklusif, praktikal dan berdaya tahan,” ujarnya.

Mengulas sambutan yang bertemakan ‘Tumbuhan Ubatan dan Beraroma Memelihara Kesihatan Warisan dan Sumber Ekonomi’, beliau berkata ia amat bertepatan dengan realiti semasa.

“Program penanaman pokok yang berlangsung pada sambutan ini menggambarkan komitmen semua pihak untuk tidak sekadar bercakap soal pemuliharaan, sebaliknya melaksanakannya melalui tindakan nyata.

“Lebih penting, ia membawa mesej bahawa usaha memulihara alam perlu bermula sekarang dengan penyertaan semua pihak dan diteruskan secara konsisten,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap sambutan berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi merentas agensi, komuniti, institusi penyelidikan dan sektor lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai