KUCHING: Universiti UCSI terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok universiti terbaik di dunia dengan memajukan pendidikan tinggi serta menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UCSI, Profesor Datuk Ts. Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pendekatan unik yang dilakukan oleh UCSI dalam sistem pembelajaran berasaskan industri dan inovasi memainkan peranan penting.
Ujarnya, ini membentuk graduan yang bersedia menghadapi cabaran dunia kerja, sekali gus memperkukuh reputasi universiti di peringkat antarabangsa.
“Universiti kami yang terletak di Kuching telah menetapkan keperluan agar pelajar berada di kampus selama sekurang-kurangnya dua bulan dalam setahun, bagi memastikan penglibatan aktif dalam suasana akademik dan industri mereka.
“Menariknya, bilangan industri yang bekerjasama dengan kami melebihi bilangan UCSI sendiri dan ini jelas menunjukkan jalinan kukuh antara institusi pendidikan dan sektor pekerjaan.
“Ini memudahkan proses pencarian pekerjaan bagi pelajar. Mereka bukan sahaja menerima pendidikan berkualiti malah mempunyai akses langsung kepada peluang kerjaya selepas graduasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Jelas Kamsiah, kunjungan ini adalah untuk memperkenal dan membincangkan inisiatif serta kerjasama yang dirancang oleh Universiti UCSI bersama kerajaan Sarawak.
“Sehubungan itu, kami juga ingin mendapatkan pandangan dan nasihat daripada Tun Wan Junaidi mengenai langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesan dan keberkesanan inisiatif yang dirancang.
“Pandangan dan nasihat ini penting bagi memastikan setiap program yang dilaksanakan selaras dengan keperluan serta matlamat pembangunan Sarawak,” jelasnya lagi.
Tambahnya, Tun Wan Junaidi amat menggalakkan pembangunan bakat dalam keadaan ruang pekerjaan yang sentiasa mencabar dengan Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR 4.0), Kecerdasan Buatan (AI) dan sebagainya.






