BUKU psikologi motivasi kecil bertajuk ‘Pendiam? Memahami Personaliti Introvert dalam Dunia Ekstrovert’ ini memaparkan sifat dan personaliti introvert untuk kita lebih memahami personaliti mereka yang sebenarnya.
Buku ini ditulis oleh Aiman Amri atau lebih dikenali sebagai Aiman Psikologi dan Aqila Masri berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing.
Meskipun buku ini tidak begitu tebal, tetapi padat dengan pengetahuan berkenaan golongan introvert yang dapat difahami dengan mudah dan lebih mendalam dari sudut pandang golongan ekstrovert, ambivert mahupun golongan introvert itu sendiri.
Golongan introvert sering dianggap sebagai golongan pemalu, antisosial, pendiam, kurang keyakinan dan banyak lagi stereotaip serta stigma yang dilemparkan terhadap individu berpersonaliti ini.
Istilah ‘introvert’ itu sendiri sering disalah erti sebagai pendiam atau pemalu walhal konsep sebenar personaliti introvert itu ialah menjadi bising bersamasama orang tertentu sahaja dan bukan bermaksud mereka ini berasa sunyi kerana itu pilihan mereka sendiri.
Pandangan penulis buku
Personaliti seseorang individu terbina melalui pelbagai faktor yang mempengaruhi seperti latar belakang biologi, psikologi, persekitaran sosial, cara didikan ibu bapa dan sebagainya.
Personaliti ini melambangkan perbezaan cara berfi kir dan cara bertindak antara individu yang bukan bermaksud merujuk kepada siapa lebih hebat atau kurang.
Tetapi personaliti hanya sebagai cara seseorang melihat dunia dengan kaca mata tersendiri.
Menurut penulis, sudah tiba masanya untuk golongan introvert mengubah pemikiran golongan introvert ialah golongan yang serba kekurangan. Berbeza bukan bererti kekurangan.
Individu itu juga perlu menggunakan perbezaan tersebut sebagai satu kekuatan diri. Mereka perlu mengenali diri sendiri, mengambil tahu potensi diri dan menggilap potensi tersebut sepenuhnya.
Sudah tiba masanya golongan introvert untuk mengekalkan identiti mereka tanpa perlu mencari-cari identiti lain.
Tiba masanya untuk golongan introvert mengubah sifat mereka yang dianggap lemah ini dan menjulangnya sebagai simbol kekuatan diri.
Oleh itu, tanggungjawab untuk membantu penerimaan terhadap sifat introvert dalam masyarakat ini terletak pada bahu individu itu sendiri. Mereka perlu sedar akan kekuatan mereka.
Pandangan pengulas secara ringkas
Pengulas melihat buku ini adalah suatu panduan yang bagus untuk golongan introvert memahami diri mereka sendiri. Isi kandungannya begitu menarik dan padat dengan ilmu.
Bagi pengulas sendiri, penting untuk kita memahami personaliti kita sendiri untuk beradaptasi dengan sesuatu situasi.
Bagi pengulas juga, segala yang diceritakan dan dijelaskan dalam buku ini yang disertakan dengan contoh sebenar pengalaman individu dalam kehidupan nyata membolehkan kita memahami dengan situasi tersebut dan mendekati dengan situasi tersebut.
Buku yang berharga RM33 senaskhah ini tidak merugikan pembaca, malah pembaca mendapat banyak ilmu baharu yang tidak diperoleh di luar dengan mudah.
Dengan gaya bahasa yang mudah difahami dan santai, pembaca mudah memahami setiap perkara yang diperjelaskan dalam buku ini.
Tajuk: Pendiam? Memahami Personaliti Introvert dalam Dunia Ekstrovert • Penulis: Aiman Amri dan Aqila Masri • Tahun Penerbitan: 2020 • Halaman Muka Buku: 206 muka surat