ARTIKEL

Pendidik muda sarat aspirasi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Berani menggalas amanah besar pada usia muda, Siti Nurmaysara Mohd Fadhillah bertekad menjadikan bidang Pendidikan Awal KanakKanak sebagai wadah perkhidmatannya kepada masyarakat.

Anak jati Kuching ini percaya corak masa depan sesebuah negeri bermula daripada kualiti bimbingan yang diterima oleh kanak-kanak pada hari ini.

Prinsip itulah yang menjadi pegangan teguh Siti Nurmaysara yang kini tekun melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak di Kolej Universiti i-CATS.

Pilihan bidang pengajian dan kerjaya ini dibuat berasaskan minat yang mendalam terhadap dunia kanak-kanak, sekali gus mendasari cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik berdedikasi, berwibawa dan berjiwa besar.

Bagi Siti Nurmaysara, fasa awal kehidupan merupakan zaman keemasan yang amat kritikal dalam pembentukan watak seseorang insan.

Pendidikan pada usia ini merangkumi proses asas seperti mengenal huruf, membaca dan mengira, selain menjadi asas penting bagi membentuk perkembangan intelek, emosi, sosial dan sahsiah seseorang individu secara menyeluruh.

Beliau percaya setiap kanakkanak dilahirkan dengan potensi yang tersendiri.

Justeru, potensi tersebut memerlukan bimbingan berasaskan kasih sayang, kesabaran serta pendekatan pedagogi yang berkesan agar dapat berkembang secara menyeluruh dan seimbang.

“Sejak dahulu lagi saya berminat untuk mendidik dan membimbing kanak-kanak.

Saya percaya pendidikan awal memainkan peranan yang sangat penting untuk membentuk keperibadian serta hala tuju masa depan mereka.

“Seorang guru bertindak sebagai pembimbing utama yang membantu membina keyakinan diri, menyemai nilai murni dan memupuk semangat untuk belajar dalam diri setiap kanakkanak, selain mengajar mereka membaca dan menulis,” katanya ketika berkongsi pandangan mengenai hala tuju kerjaya yang dipilihnya dengan Suara Sarawak.

Didorong oleh semangat yang tinggi, Siti Nurmaysara memasang cita-cita untuk menjadi seorang pendidik profesional yang berupaya menyediakan pendidikan berkualiti kepada masyarakat.

Sedar akan cabaran dunia pendidikan moden yang semakin kompleks, beliau bertekad untuk sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran melalui latihan berterusan serta amalan pembelajaran sepanjang hayat.

Langkah ini disifatkan penting bagi memastikan beliau sentiasa relevan, kompeten dan seiring dengan perkembangan terkini dalam ekosistem pendidikan serta kaedah pengajaran pendidikan awal kanak-kanak.

Mengulas lanjut mengenai cabaran era digital, beliau berpendapat guru era baharu perlu sentiasa bersedia dan fleksibel bagi menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan.

Hal ini merangkumi integrasi teknologi interaktif dalam bilik darjah, pelaksanaan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan kreatif serta penggunaan kaedah pengajaran yang lebih berkesan bagi memenuhi pelbagai keperluan dan gaya pembelajaran kanakkanak yang dinamik.

Sebagai salah seorang wakil generasi muda di Bumi Kenyalang, Nurmaysara turut melihat peranan bidang pendidikan daripada sudut agenda pembangunan negeri yang lebih luas.

Beliau menyedari kemajuan Sarawak bukan sahaja merangkumi pembangunan ekonomi, teknologi dan infrastruktur fizikal, malah memerlukan pembangunan modal insan yang berkualiti, berintegriti dan berdaya saing di peringkat global.

Lantaran itu, beliau berhasrat untuk berada di barisan hadapan dalam usaha melahirkan generasi baharu Sarawak yang berilmu, berakhlak mulia, berdisiplin dan mempunyai keyakinan diri yang teguh sejak usia awal.

Di samping menumpukan perhatian kepada bidang akademik dan profesion perguruan, beliau juga berhasrat untuk aktif menyumbang dalam pelbagai program kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Melalui pelibatan sedemikian, beliau berharap dapat menyemai budaya pembelajaran berterusan dalam kalangan komuniti tempatan, memupuk nilai-nilai positif, sekali gus memberikan inspirasi dan dorongan kepada kanak-kanak serta golongan muda agar berani mengejar impian mereka tanpa ragu-ragu.

Bagi Nurmaysara, kejayaan sebenar dalam kehidupan dinilai berdasarkan sejauh mana seseorang mampu memberikan manfaat dan impak positif kepada insan lain, bukan semata-mata berdasarkan pencapaian akademik atau kedudukan dalam kerjaya.

Beliau yakin bahawa dengan ilmu yang mantap, keikhlasan dan dedikasi yang berterusan, seorang pendidik berupaya mengubah kehidupan ramai kanakkanak.

Usaha kecil yang dimulakan di bilik darjah pada hari ini akhirnya dapat menjadi landasan kukuh yang menyumbang kepada pembentukan masyarakat Sarawak yang lebih maju, sejahtera, harmoni dan berdaya saing pada masa hadapan.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU