BINTULU: Pendidikan aliran Cina bukan eksklusif untuk kaum Cina sahaja, sebaliknya terbuka kepada semua kaum di Sarawak selaras dengan dasar inklusif kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan untuk pembangunan masa depan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Hui Kian berkata, persepsi bahawa sekolah aliran Cina hanya untuk kaum tertentu adalah tidak tepat dan bercanggah dengan realiti semasa.
“Sekolah ini buktinya, walaupun ia berstatus sekolah Cina, 40 peratus pelajarnya adalah daripada kaum Bumiputera,” katanya semasa menyerahkan geran peruntukan khas Kerajaan Sarawak berjumlah RM150,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Kai Ming, di sini, pada Khamis.
Menurut Dr. Sim, sekolah tersebut pada asalnya hanya mempunyai enam orang murid ketika beroperasi di Bintangor.
Namun, selepas berpindah ke Bintulu dan melalui proses pembinaan semula bernilai lebih RM7 juta, ia berkembang pesat dan menjadi institusi pendidikan pelbagai kaum.
Daripada jumlah kos keseluruhan katanya, Kerajaan Sarawak menyumbang sebanyak RM1.7 juta, manakala selebihnya berjaya dikumpulkan oleh Lembaga Pengurusan Sekolah melalui sumbangan masyarakat dan dermawan.
“Saya amat menghargai semangat masyarakat Cina dalam menjayakan sekolah ini. Mereka mengumpul lebih RM5 juta dengan usaha sendiri.”
“Pendidikan Cina bukan soal kaum. Ia soal nilai. Nilai kerja keras, nilai kecemerlangan dan nilai keterbukaan. Hari ini, semakin ramai ibu bapa bukan Cina menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Cina kerana mereka percaya kepada kualiti pendidikan di sini,” ujarnya.
Dr. Sim turut menegaskan bahawa Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sentiasa menekankan bahawa pendidikan Cina adalah sebahagian daripada proses pembinaan negara dan tidak harus dilihat dari sudut kaum semata-mata.
“Kita perlukan bakat dan kepakaran dari semua lapisan masyarakat. Pendidikan aliran Cina memainkan peranan penting dalam membentuk pelajar yang berdisiplin, cemerlang dan bersedia menyumbang kepada masa depan Sarawak,” ujarnya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK (C) Kai Ming, Datuk Pau Chiong Ung dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Batu atas sokongan mereka terhadap pembangunan sekolah tersebut.



