ARTIKEL

Shafizan bersalam dengan penduduk yang memeriahkan Program Jalinan Mesra Rakyat Zon Pusa di Dewan Komuniti Kampung Pusa, malam tadi.

Pendidikan fokus utama Shafizan di Dewan Rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUSA: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli mengakui sentiasa membangkitkan isu berkaitan pendidikan di Dewan Rakyat agar kerajaan mendengar keluh kesah keperluan infrastruktur pendidikan yang lebih baik di konstituensinya.

Menurutnya, usaha itu merupakan perjuangan untuk memastikan Parlimen Batang Lupar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pendidikan.

“Saya sentiasa membangkitkan isu berkaitan pendidikan di Parlimen supaya Batang Lupar tidak ketinggalan.

Shafizan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Program Jalinan Mesra Rakyat Zon Pusa di Dewan Komuniti Kampung Pusa, malam tadi.

“Apabila kerajaan menyediakan persekitaran pembelajaran yang selesa dan kondusif, insya-Allah anak-anak kita dapat belajar dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jalinan Mesra Rakyat Zon Pusa di Dewan Komuniti Kampung Pusa, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan belia di parlimennya, khususnya di Daerah Pusa, supaya gigih mengejar kejayaan melalui pendidikan yang disifatkan sebagai laluan utama memutuskan kitaran kemiskinan serta meningkatkan taraf hidup keluarga dan komuniti.

Beliau berharap agar Daerah Pusa suatu hari nanti dapat melahirkan golongan intelektual dan pemimpin sendiri, justeru belia digesa merebut peluang yang disediakan oleh Kerajaan Sarawak termasuk skim pendidikan tinggi percuma bermula 2026 melalui universiti milik Kerajaan Sarawak.

Selain itu, beliau memuji komitmen Kerajaan Sarawak yang sentiasa menambah baik kemudahan dan infrastruktur pendidikan, terutamanya di kawasan luar bandar, bagi memastikan tiada komuniti ketinggalan.

Shafizan turut mengakui Sarawak telah mencapai kemajuan ketara dalam pelbagai sektor berbanding negeri lain hasil kepimpinan berwawasan serta tadbir urus yang berkesan.

Menurutnya, Daerah Pusa juga menyaksikan peningkatan pembangunan yang ketara dan usaha perancangan selanjutnya akan diteruskan bagi memastikan kawasan itu maju seiring daerah lain di seluruh Sarawak.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam mengekalkan tadbir urus yang teratur dan telus di peringkat akar umbi serta menggesa pemimpin komuniti menyelesaikan isu melalui perbincangan dan konsensus demi manfaat bersama.

Program Jalinan Mesra Rakyat berfungsi sebagai platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat di peringkat akar umbi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU