LAWAS: Pengurusan pendidikan di luar bandar tidak boleh dibuat dari jauh atau secara ‘remote control’, sebaliknya pegawai perlu turun padang bagi memahami sendiri realiti yang dihadapi guru, murid, ibu bapa dan komuniti.
Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Omar Mahli, berkata keputusan berkaitan pendidikan perlu dibuat berdasarkan keadaan sebenar di sekolah dan bukan hanya maklumat yang diterima dari jauh.
“Jabatan tidak seharusnya membuat keputusan hanya berdasarkan maklumat dari jauh atau secara ‘remote control’. Pegawai perlu hadir ke sekolah, bertemu guru, ibu bapa dan komuniti serta memahami realiti setempat sebelum membuat keputusan bersama demi menentukan masa depan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena perasmian bangunan baharu Blok Pentadbiran dan Bilik Darjah Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sukang di sini, semalam.
Jelasnya, kekuatan ibu bapa dan komuniti juga penting dalam membantu sekolah menangani pelbagai cabaran, termasuk isu penyuraian murid.
Katanya, kesungguhan ibu bapa dan komuniti memberikan sumbangan membuktikan kekuatan setempat mampu membantu sekolah tanpa terlalu bergantung kepada bantuan luar.
“Kerjasama yang rapat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti mampu membantu sekolah menangani pelbagai cabaran dengan lebih berkesan,” katanya lagi.
Omar turut menekankan kepentingan hubungan erat antara Guru Besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai asas membina sokongan komuniti serta memperkukuh pembangunan sekolah.
Dalam pada itu, beliau berkata adab perlu menjadi asas pendidikan dalam usaha melahirkan murid yang seimbang dan harmonis, selain pencapaian akademik.
Guru juga diseru melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan dan meningkatkan pencapaian murid.
Bangunan baharu Blok Pentadbiran dan Bilik Darjah SK Long Sukang menyediakan persekitaran lebih selesa, selamat dan kondusif kepada guru serta murid bagi melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.
Penyediaan kemudahan itu turut selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran kondusif dinikmati semua murid tanpa mengira lokasi.
Kisah SK Long Sukang turut menunjukkan kemajuan pendidikan bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal, tetapi memerlukan kepimpinan sekolah, guru, ibu bapa dan komuniti bergerak bersama.
“Turun padang, dengar suara komuniti, bina kekuatan bersama dan jadikan setiap cabaran sebagai peluang untuk memajukan pendidikan,” ujarnya.


