ARTIKEL

Dr Dzul semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Ekonomi: Bagaimana Berkongsi Kekayaan Dengan Rakyat Sarawak” pada Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini. FOTO: GHAZALI BUJANG

Pendidikan, penyelarasan ekonomi kunci kongsi kekayaan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendidikan dan penyelarasan ekonomi yang lebih tersusun menjadi kunci utama bagi memastikan kekayaan negeri dapat dikongsi secara inklusif dengan rakyat Sarawak, khususnya dalam menghadapi perubahan struktur ekonomi yang semakin pesat dan berasaskan teknologi.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Dzul Hadzwan Husaini berkata, pembangunan ekonomi negeri tidak boleh dilihat secara terpisah daripada aspek pendidikan dan pembangunan modal insan. Sebaliknya, kedua-dua elemen itu perlu digerakkan secara seiring bagi memastikan tiada kelompok masyarakat yang tercicir.

“Berdasarkan pengalaman saya dalam bidang pendidikan dan pembangunan bakat, masih wujud cabaran ketara dalam menggalakkan penyertaan masyarakat Melayu, khususnya di luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Walaupun peluang dan bantuan biasiswa disediakan, tahap penyertaan masih belum memuaskan sekali gus menuntut pendekatan lebih proaktif dalam usaha menarik minat pelajar.

“Dalam beberapa keadaan, kita terpaksa membuka peluang kepada kaum lain kerana kekurangan permohonan daripada kelompok sasaran. Ini bukan soal kemampuan tetapi lebih kepada faktor kesedaran, motivasi dan kekangan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab selepas menyampaikan ceramah bertajuk “Ekonomi: Bagaimana Berkongsi Kekayaan Dengan Rakyat Sarawak” pada Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2.0 Tahun 2026 di Auditorium Tun Ahmad Zaidi Adruce, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini, hari ini.

Beliau menambah bahawa pendidikan perlu dilihat sebagai asas utama mobiliti sosial, khususnya dalam membolehkan masyarakat menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi yang kini bergerak ke arah digital, tenaga boleh diperbaharui, agro moden dan sektor berteknologi tinggi.

“Justeru, tanpa penguasaan ilmu dan kemahiran baharu, masyarakat berisiko ketinggalan dalam arus pembangunan yang semakin kompetitif.

“Oleh itu, satu bentuk koordinasi atau penyelarasan yang lebih sistematik diperlukan bagi memastikan peluang ekonomi yang luas di Sarawak dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh.

“Peluang itu memang ada tetapi tanpa koordinasi yang kemas, kita akan berdepan isu penyertaan yang tidak seimbang dalam pendidikan, projek pembangunan dan sektor ekonomi,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata transformasi ekonomi negeri turut memerlukan perubahan cara berfikir masyarakat, khususnya dalam melihat nilai pendidikan sebagai aset paling penting berbanding kebergantungan kepada kekayaan fizikal semata-mata.

“Kekayaan sumber seperti tanah dan hasil bumi tidak akan memberi impak maksimum tanpa penguasaan ilmu dalam mengurus dan mengembangkannya.

“Sehubungan itu, penggunaan instrumen kewangan Islam seperti wakaf perlu diperkasakan sebagai antara mekanisme pembangunan ekonomi masyarakat Melayu dan Islam di Sarawak,” jelasnya.

Menurutnya, model institusi seperti Tabung Haji boleh dijadikan rujukan dalam membangunkan sistem yang bukan sahaja membantu simpanan malah turut berperanan dalam pelaburan dan pembangunan ekonomi jangka panjang.

“Malah, penubuhan Dana Kedaulatan Negeri boleh menjadi platform strategik untuk membantu usahawan tempatan berkembang daripada peringkat mikro kepada perusahaan yang lebih berdaya saing.

“Usaha ini penting bagi memastikan usahawan tidak kekal pada tahap kecil, sebaliknya mampu berkembang melalui sokongan modal, latihan dan ekosistem perniagaan yang lebih kukuh.

“Usahawan perlu diberi ruang dan sokongan untuk naik ke peringkat lebih tinggi, bukan hanya kekal dalam skala kecil tanpa peluang pengembangan,” katanya.

Tegasnya, pendekatan bersepadu antara pendidikan, ekonomi dan instrumen kewangan Islam diyakini mampu menjadi asas kukuh dalam memastikan kekayaan negeri dapat diagihkan secara lebih adil, seimbang dan inklusif kepada seluruh rakyat Sarawak.

BERITA LAIN

Impian besar Kupang Strike

SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan

BERITA TERBARU

Emosi atasi pertimbangan

BARU-BARU ini berlaku insiden tragis apabila seorang pelajar perempuan ditemui mati didakwa dibunuh di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor. Pelajar tingkatan empat