ARTIKEL

Datuk Fazzrudin Abdul Rahman

Pendidikan tinggi percuma bakal dilaksanakan pada tahun 2026 – Fazzrudin

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Inisiatif pendidikan tinggi percuma yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak pada tahun 2026 dilihat sebagai satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negeri.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkata Inisiatif ini sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan modal insan dan masa depan generasi muda.

“Saya yakin dan pasti bukan sahaja belia, malah seluruh warga Sarawak menyambut baik inisiatif ini.

“Kita perlu menghargai kepimpinan Premier kerana siapa sangka Sarawak mampu melaksanakan pendidikan percuma untuk rakyatnya,” katanya ketika ditemui di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya, di Dewan Hikmah, Petra Jaya, hari ini.

Jelasnya, inisiatif ini merupakan satu kejayaan besar yang perlu dihargai rakyat kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk direalisasikan.

“Pelaksanaan pendidikan tinggi percuma merupakan satu langkah penting ke arah membangunkan negeri melalui pendidikan.

“Pendidikan percuma ini akan tertumpu kepada kebanyakan kursus dan bukan semua bidang pengajian,” ujarnya.

Beliau juga menggesa rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada usaha kerajaan negeri dan tidak hanya melihat kekurangan, sebaliknya memahami bahawa inisiatif ini memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan berperingkat.

Selain inisiatif pendidikan tinggi percuma, Fazzrudin turut menekankan peranan Yayasan Sarawak dalam membantu pelajar yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Pada tahun lalu, Yayasan Sarawak telah melupuskan pinjaman pendidikan bernilai RM7 juta hingga RM8 juta kepada pelajar cemerlang, pemohon atas dasar rayuan serta pelajar yang telah meninggal dunia,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Yayasan Sarawak akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan pelajar, sama ada dalam bentuk biasiswa, pinjaman atau pelepasan hutang bagi mereka yang memenuhi syarat tertentu.

“Inisiatif ini adalah bukti bahawa Sarawak sentiasa mendahulukan pendidikan rakyatnya. Kita yakin dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pendidikan berkualiti untuk semua,” katanya lagi.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

BERITA TERBARU