TERIMA kasih Abang Jo, terima kasih Gabungan Parti Sarawak dan terima kasih YB kawasan. Itulah ayat yang diungkapkan oleh penduduk di Daro dan Pulau Bruit apabila melihat jambatan Batang Lassa siap sepenuhnya.
Rata-rata mereka menzahirkan rasa syukur apabila jambatan itu diumumkan dibuka kepada orang ramai pada 9 Januari lalu.
Tahun lalu, tular di media sosial dengan keindahan lampu cahaya neon menyinari jambatan tersebut menyebabkan ramai teruja untuk menggunakannya.
Ramai yang lega apabila melihat ia dibuka dan mengambil peluang untuk menggunakannya selepas majlis prapelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Ir Aidel Lariwoo yang mewakili Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
JAMBATAN KEDUA TERPANJANG DI SARAWAK
Bukan itu sahaja, jambatan sepanjang 2.43 kilometer ini merupakan jambatan kedua terpanjang di Sarawak selepas Jambatan Batang Lupar
. Jambatan Batang Lassa menghubungkan Daro dan Pulau Bruit dan sebelum ini mereka hanya menggunakan perkhidmatan feri untuk melintasi sungai tersebut.
Melihat keluasan sungai, ramai yang tidak percaya dan menyatakan hasrat untuk menggunakan jambatan tersebut hanyalah mimpi.
Jambatan ini bukan sahaja menjadi penghubung penting, tetapi juga simbol kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.
Tentunya, pembinaan jambatan ini adalah untuk meningkatkan jaringan pengangkutan, merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta memperkasakan ekonomi tempatan.
Akses yang lebih baik ini membantu meningkatkan pendapatan penduduk kerana hasil pertanian, perikanan dan produk tempatan dapat dipasarkan lebih meluas serta dapat menarik pembeli dari luar kawasan.
Susulan pasaran meluas, ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan penduduk, malah memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak muda dalam bidang tersebut.
Bukan itu sahaja, dengan perjalanan yang singkat, penduduk kampung lebih mudah untuk mendapatkan kemudahan asas seperti sekolah, klinik, pasar raya dan menguruskan urusan berkaitan di jabatan kerajaan.
RAWATAN
Sebelum ini, saya pernah menemu bual penduduk kampung. Ada yang bersyukur kerana dengan adanya jambatan ini, urusan untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan lebih mudah.
Katanya, sebelum ini penduduk Pulau Bruit terpaksa menunggu waktu pagi untuk ke Daro bagi mendapatkan rawatan. Ini kerana, perkhidmatan feri tidak beroperasi 24 jam dan mereka perlu menunggu keesokan harinya.
Jika kecemasan sekali pun, tetap tidak dapat melintasi kerana sungai yang sangat besar dan perkhidmatan feri ditutup pada waktu malam.
Setelah mendengar berita jambatan ini dibuka, tidak dapat digambarkan kegembiraan di wajah masing- masing kerana masih tidak percaya kesabaran menanti selama ini membuahkan hasil.
Ada juga yang memberitahu bahawa selepas ini mereka boleh bangun lewat sekiranya ada urusan di pejabat kerajaan.
Ini kerana semasa menggunakan feri, mereka perlu cepat agar tidak perlu menunggu lama.
“Sebelum ini, bangun 5.30 pagi untuk ke Daro, selepas adanya jambatan, bangun jam 8.30 pun tiada masalah,” kata salah seorang penduduk kampung dengan nada berseloroh. Walaupun kelihatan lucu, tetapi itulah hakikat yang ditanggung.
Melihat situasi ini, saya sebagai orang luar dari kawasan Daro dan Pulau Bruit turut bangga dengan usaha kerajaan Sarawak yang sentiasa memberikan kemudahan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Justeru, kita perlu percaya dan yakin dengan kerajaan Sarawak agar dapat melihat pembangunan atau kemajuan yang lebih banyak di seluruh kawasan di negeri ini.



