KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak membelanjakan sejumlah RM3,116,442.27 bermula 18 Mac sehingga 2 November lalu untuk membantu masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di seluruh negeri ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bantuan berbentuk makanan berbungkus, makanan kering, perkakas elektrik dan peralatan mandian.
Menurutnya, bantuan diagihkan kepada setiap keluarga yang memerlukan termasuk yang berada di pusat kuarantin.
“Daripada jumlah itu, sejumlah RM347,119.70 bantuan makanan dibelanjakan untuk tempoh dua minggu bagi keperluan penduduk di Kampung Haji Baki yang kini masih berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 29 Oktober sehingga 11 November ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media di pejabat JKMS di Kompleks Islam Sarawak di sini baru-baru ini.
Fatimah menambah, antara makanan diagihkan seperti makanan kering, susu formula untuk bayi, kanak-kanak dan warga emas, lampin pakai buang, tuala wanita serta makanan berbungkus untuk barisan hadapan yang bertugas.
Selain bantuan JKMS, beliau menjelaskan terdapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan luar bagi membantu penduduk di Kampung Haji Baki.
“Malah agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu dalam mengagihkan sumbangan kepada penduduk di kampung tersebut.
“Ketika pandemik Covid-19 ini, kita dapat melihat masyarakat saling membantu walaupun tidak mengenali antara satu sama lain,” jelasnya.
Fatimah meluahkan rasa bangga kepada usaha dan kemurahan hati pihak berkaitan kerana memberikan bantuan yang diperlukan. Sementara itu, Pegawai Pentadbiran Khas Pejabat Residen Kuching Dr Cheong Yaw Liang berkata, seramai 3,264 penduduk di Kampung Haji Baki mendapat agihan bantuan yang diperlukan.
“Pada awalnya, data kami menunjukkan seramai 4,000 penduduk di Kampung Haji Baki namun setelah kami berkunjung dari rumah ke rumah, kami mendapat angka yang sebenar penduduk di kampung itu.
“Ini disebabkan ada penduduk yang kemungkinan berpindah keluar,” ujar Yaw Keong. Yaw Keong memberitahu, kebajikan penduduk di Kampung Haji Baki diuruskan dengan baik dan Sarawak tidak memerlukan pagar berdawai atau kekerasan untuk mengawal serta menghalang pergerakan masyarakat.
“Masyarakat kita berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Mereka memahami keadaan yang dialami kita sekarang. Mereka memberikan kerjasama penuh kepada agensi kerajaan,” jelasnya lagi.
Hadir sama dalam sidang media tersebut, Pegawai JKMS Bahagian Kuching Norhayati Abdul Rahman serta wakil lain yang turut memberikan sumbangan kepada penduduk di Kampung Haji Baki.



