MUKAH: Seramai 15 penduduk Kampung Teh mempelajari teknik menghasilkan sabun menggunakan minyak masak terpakai menerusi Bengkel Matlamat Pembangunan Mampan (SDG): Eco Enzyme dan Pembuatan Sabun.
Program itu diadakan sempena Karnival Sarawakku Membaca Bersama Pemimpin Sarawak Siri Ke-8 anjuran Pustaka Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Teh, dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.
Bengkel itu dikendalikan oleh tiga pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), iaitu Dr Ain Nadirah Romainor dan Dr Mugunthan Perumal dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, serta Dr Faizan Iza Zainuddin dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan.
Peserta diberikan penerangan mengenai kaedah memproses minyak masak terpakai menjadi sabun mesra alam sebelum mengikuti sesi amali menghasilkan produk berkenaan menggunakan bahan yang mudah diperoleh.
Selain itu, mereka turut didedahkan kepada penghasilan Eco Enzyme menerusi penggunaan sisa organik sebagai alternatif mesra alam yang mampu mengurangkan pencemaran serta menggalakkan pengurusan sisa isi rumah secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, Karnival Sarawakku Membaca menyediakan pelbagai pengisian berasaskan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat yang disertai masyarakat pelbagai peringkat umur.
Pengunjung turut mengambil bahagian dalam aktiviti pendidikan, seni dan kraftangan yang dirangka bagi meningkatkan kreativiti serta memperluaskan pemahaman mengenai kepentingan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam kehidupan harian.
Karnival itu turut disertai pelbagai jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan organisasi yang membuka ruang kepada orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan, program serta inisiatif pembangunan.
Antara peserta pameran ialah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), Sarawak Forestry Corporation, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Mukah, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan beberapa agensi lain.
Dalam kenyataannya, UNIMAS merakamkan penghargaan kepada Pustaka Negeri Sarawak atas kerjasama yang terjalin dalam menjayakan program berorientasikan komuniti itu.
Universiti berkenaan turut menegaskan komitmennya untuk terus menggembleng kepakaran akademik menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memperkasakan masyarakat serta menyokong agenda pembangunan mampan di Sarawak.






