MUKAH: Penduduk di Mukah perlu berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan apabila beberapa kawasan sudah mula dinaiki air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine, berkata keadaan hujan berterusan amat merisaukan.
“Beberapa bulan lalu, kita sudah mengalami banjir luar biasa, dan diharapkan kali ini kita lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Di samping itu, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan penting dengan memberi maklumat kepada penduduk agar mereka sentiasa mengutamakan keselamatan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Juh Berambih Sungkai di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, petang semalam.
Sehubungan itu, Royston yakin bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah dan agensi-agensi lain telah bersiap sedia untuk membantu sekiranya berlaku gelombang ketiga bencana banjir.
Dalam pada itu, beliau berharap semua penduduk di Mukah sentiasa berjaga-jaga dan mengutamakan keselamatan.
“Kita tidak berharap ia berlaku, namun kita perlu sentiasa berwaspada bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” tambahnya.
Terdahulu, Royston turut melakukan rondaan di Kampung Tellian yang dinaiki air selepas hujan lebat berterusan, kelmarin.
Beliau juga meninjau kawasan Skim Penempatan Semula (SPS) Kuala Lama untuk melihat masalah sistem perparitan di kawasan tersebut.



