BINTULU: Penduduk rumah panjang, Ningkan Bungkong, Sungai Setiam kini menikmati kemudahan jalan yang lebih baik selepas kerja baik pulih di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan DUN Jepak siap sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi, baru-baru ini.
Penyerahan projek berkenaan disempurnakan oleh Pegawai Khas kepada ADUN Jepak, Shahrezly Sulaiman, yang mewakili ADUN Jepak Iskandar Turkee dalam lawatan ringkas ke rumah panjang berkenaan.
Menurut Shahrezly, projek tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan YB Iskandar untuk memperjuangkan pembangunan infrastruktur asas di kawasan luar bandar.
“Projek seperti ini memberi impak kepada penduduk rumah panjang, bukan sahaja dari segi kemudahan pergerakan harian, malah dari aspek keselamatan terutama ketika musim hujan.
“ADUN Jepak Iskandar Turkee amat menitikberatkan kebajikan rakyat dan berusaha memastikan tiada komuniti yang terpinggir,” katanya.
Projek baik pulih jalan tersebut yang melibatkan lebih 20 pintu rumah panjang dibiayai menerusi peruntukan RTP 2024.
Menurut Shahrezy lagi, Pejabat Perkhidmatan Rakyat DUN Jepak turut memberi jaminan terus memantau pelaksanaan setiap projek bagi memastikan ia memenuhi keperluan dan harapan penduduk setempat.
Dalam pada itu, Tuai Rumah Ningkan bersama ‘anembiak’nya menyambut baik siapnya projek ini dan merakamkan penghargaan kepada ADUN Jepak itu atas keprihatinan dan tindakan segera terhadap keperluan komuniti.



