Penduduk perumahan cemas Proton Waja tiba-tiba terbakar

KOTA SAMARAHAN: Warga penduduk perumahan Vista Ilmu menghadapi detik cemas apabila sebuah kenderaan jenis Proton Waja tiba-tiba terbakar di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan, PKPgB Ebby Hirwandy Sarbini berkata pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 1.54 petang sebelum mengerahkan sembilan anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, laporan awal mengesahkan sebuah kereta yang diparkir milik seorang penduduk di situ telah terbakar secara keseluruhan.

“Pada awalnya pemilik kenderaan bersama beberapa orang awam cuba memadam kebakaran namun gagal.

“Setibanya di tempat kejadian pihak bomba terus menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk operasi memadam dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 2.10 petang,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sebuah kereta jenis Proton Saga FLX yang berada dekat di lokasi kejadian turut terbakar 10 peratus.

Susulan kejadian bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

HANGUS… Kelihatan bomba sedang melakukan operasi memadam kenderaan terbakar 100 peratus di salah sebuah tempat letak kereta di Vista Ilmu

Suara Sarawak