Penduduk Tarat turut terima bantuan

KUCHING: Pengagihan bantuan makanan kepada lebih 7,000 penduduk di kawasan Dun Tarat telah bermula kelmarin.

Adun Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn semalam turut turun padang menyaksikan sendiri pengagihan bakul makanan kepada ketuaketua zon di Dun Tarat di Dewan Tapah.

Beliau yang juga Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah turut berharap bantuan tersebut akan dapat memberi manfaat kepada penduduk kampung di kawasan Dun Tarat. Bantuan itu akan diagihkan secara berperingkat kepada para penerima.

Antara bantuan yang disumbangkan adalah beras, telur, minyak masak, gula dan sebagainya.

Bantuan itu disalurkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian virus Covid-19 yang dilaksanakan pada 18 sehingga 31 Mac lalu dan dilanjutkan kepada 14 April depan.

Kesan PKP, rakyat khususnya penduduk luar bandar menghadapi kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak yang diketuai oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan tambahan RM16.4 juta sebagai bantuan makanan kepada golongan memerlukan di luar bandar dan kawasan tertentu di bandar bagi mengurangkan kesan pandemik virus itu.

Suara Sarawak