MUKAH: Sebanyak 63 bakul makanan disumbangkan hari ini kepada penduduk Kampung Penakub Bazaar yang terjejas akibat banjir.
Sumbangan tersebut diberikan oleh pemilik 96 Cafe, Noni Yeo Fong Siang, dan disampaikan kepada Kapitan Kampung Penakub Bazaar, Kueh Bing Chuan.
Menurut Bing Chuan, sumbangan tersebut diselaraskan dahulu melalui pihak Pejabat Daerah Mukah, dan seterusnya akan diagihkan kepada penduduk kampung.
“Dengan adanya bantuan seperti ini, diharapkan ia dapat meringankan beban penduduk yang terjejas akibat banjir.
“Ini kerana beberapa jalan di kawasan kampung ini masih terputus hubungan akibat banjir, dan ini menyukarkan mereka untuk ke pasar membeli barangan keperluan asas,” katanya kepada Suara Sarawak.
Sehubungan itu, Bing Chuan turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang menghulurkan bantuan demi membantu penduduk di kawasannya.
Menyentuh tentang banjir, beliau memberitahu bahawa di kawasannya, air masih termenung, namun agak surut daripada sebelumnya.
Tambahnya, paras air banjir diharapkan semakin surut agar penduduk yang terjejas dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa.



