BINTANGOR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku secara tiba-tiba mengejutkan penduduk Rumah Jeki Entawai, Pakan.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dalam insiden berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Nicholas Belulin berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bantuan pada jam 12.01 tengah hari tadi.
“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati runtuhan berlaku di belakang rumah panjang itu.
“Kejadian yang bermula pada 28 Oktober ini dipercayai berlaku akibat hujan lebat.
“Hasil pemantauan kawasan ini berisiko terdedah dengan kejadian tanah runtuh berulang berikutan struktur tanah yang tidak kuat disebabkan tiada tumbuhan di bahagian lereng bukit di belakang rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, rumah panjang itu mempunyai 17 pintu dengan keseluruhan penghuni seramai 76 orang.
Sebanyak 16 pintu katanya, sudah didiami manakala satu lagi pintu masih belum siap.
“Pihak bomba memberi nasihat kepada penduduk setempat agar berhati- hati serta berwaspada setiap masa,” katanya.




