KUCHING: Penemuan manuskrip bertulisan Jawi oleh Jabatan Muzium Sarawak, yang dipercayai ditulis oleh pemerintah pertama Sarawak, Sultan Tengah, merupakan manuskrip tertua di negeri ini. Penemuan tersebut sekali gus mampu merungkai lembaran hidup serta sudut pandang baginda sepanjang pemerintahan di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, manuskrip yang dinamakan ‘Penggambaran Sri Sultan dan Sultan Tengah Kesebuah Gunung’ serta ‘Pengalaman Sultan Tengah ke sebuah gunung’ itu merupakan sumber primer penting bagi merekonstruksi historiografi dan biografi Sultan Tengah atau Sultan Ibrahim Omar Shah Ibni Almarhum Sultan Muhammad Hassan.
Beliau berkata, penemuan itu turut membuka ruang kepada penyelidikan lanjut mengenai Sultan Tengah, khususnya berkaitan falsafah, pemikiran, pandangan hidup dan legitimasi pemerintahan baginda.
“Selama ini, kita mengetahui lokasi makam Sultan Tengah dan beberapa fakta asas mengenai baginda. Namun, kita tidak mengetahui secara mendalam perjalanan hidup dan pengalaman baginda.
“Melalui manuskrip ini, kita dapat melihat kisah kehidupan dan perjalanan baginda dengan lebih jelas berdasarkan catatan yang telah diterjemahkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bil. 1/2026 di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, sepasukan penyelidik daripada Jabatan Muzium Sarawak dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah menjalankan penyelidikan lanjut terhadap manuskrip berkenaan pada tahun 2021.
Pada tahun berikutnya, beliau berkata, manuskrip setebal 179 halaman itu berjaya ditransliterasikan sepenuhnya oleh penyelidik Jabatan Muzium Sarawak dengan bantuan penyelidik daripada Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), di bawah penyeliaan dan pengesahan pakar manuskrip dari UiTM Cawangan Sarawak.
“Manuskrip ini mempunyai 179 halaman, berukuran 23.4 sentimeter tinggi, 19 sentimeter lebar dan setebal 4.2 sentimeter. Setiap halaman mengandungi kira-kira 17 baris tulisan.
“Tulisan dan gaya penulisannya tergolong dalam tulisan Jawi klasik abad ke-16, manakala bahasa yang digunakan pula ialah bahasa istana Brunei lama,” katanya.
Beliau turut menambah, penemuan itu membuka peluang untuk manuskrip tersebut dicalonkan bagi pengiktirafan UNESCO di bawah program Memory of the World.
“Kami akan berusaha membawa manuskrip ini ke peringkat antarabangsa supaya mendapat pengiktirafan global daripada UNESCO,” katanya.
Menurutnya lagi, manuskrip berkenaan dijangka menarik minat ramai penyelidik tempatan dan antarabangsa untuk menjalankan kajian lanjut mengenai sejarah Sultan Tengah, bidang manuskrip di Sarawak, serta sejarah pembentukan negeri ini dan hubungannya dengan Kesultanan Brunei serta kerajaan jiran seperti Melaka, Sambas dan Pontianak.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir dari Fakulti Pengajian Islam Kontemporari UiTM Cawangan Sarawak berkata, berdasarkan gaya tulisan pada manuskrip tersebut, ia sepadan dengan bentuk tulisan yang digunakan sekitar abad ke-16 dan ke-17, iaitu era yang sama dengan zaman kehidupan Sultan Tengah.
“Atas sebab itu, kami yakin manuskrip ini berasal daripada era Sultan Tengah sendiri.
“Berdasarkan kajian awal, manuskrip ini boleh dianggap sebagai antara manuskrip tertua yang pernah ditemui di Sarawak,” katanya.
Abdul Razak memberitahu, catatan yang terkandung di dalamnya merakamkan perjalanan dari Sukadana Matan di Kalimantan hingga ke Pulau Jawa.
“Selepas kajian peringkat sarjana selesai, kami akan menerbitkan penulisan akademik yang lebih terperinci mengenainya,” katanya lagi.



