KUCHING: Sarawak kini berada pada kedudukan strategik untuk mendominasi pasaran pelancongan China apabila ketersambungan udara yang lebih pantas dan efisien di antara Guangzhou dengan Kuching mula membuka tirainya, pagi tadi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, penerbangan sulung oleh syarikat penerbangan Batik Air Malaysia membawa 145 penumpang itu membuktikan potensi besar Sarawak sebagai destinasi pilihan pelancongan.
“Pembukaan laluan penerbangan yang menghubungkan Guangzhou dan Kuching menjadi tanda penting dalam memperkukuh jaringan ketersambungan Sarawak dengan pasaran antarabangsa, khususnya dari rantau Asia.

“Tempoh penerbangan yang hanya memakan masa sekitar 3 jam 45 minit merupakan satu kelebihan besar bagi menarik lebih ramai pelawat asing ke Bumi Kenyalang.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis sambutan ketibaan penerbangan sulung Batik Air dari Guangzhou ke Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), pagi tadi.
Sehubungan itu, katanya, masa perjalanan yang singkat, ditambah dengan promosi Sarawak yang lebih berkesan mampu menarik lebih ramai orang datang melawat, sekali gus merancakkan ekonomi setempat.
Henry yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, turut memaklumkan bahawa kementerian juga sedang berusaha keras untuk membawa masuk lebih banyak destinasi baharu mendarat di sini.
Sementara itu, Kim Shin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dalam pertemuan beliau dengan Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy di Kuala Lumpur minggu lalu, membincangkan peningkatan ketersambungan udara ke Sarawak.
“Kita ucap terima kasih kepada Batik Air dan rakan kongsi sewa khas mereka atas komitmen memperkenalkan penerbangan terus dari China.
“Diharapkan agar laluan ini terus berkembang dan dapat dibangunkan menjadi perkhidmatan terus berjadual tetap sekali gus meneroka lebih banyak potensi Sarawak.
Perkhidmatan Kuching-Guangzhou kendalian Batik Air Malaysia ini akan beroperasi dua kali seminggu sepanjang tahun.
Penerbangan akan berlepas dari Kuching setiap Selasa dan Sabtu pada 10:20 malam (Penerbangan OD662) dan tiba di Guangzhou pada 2:20 pagi keesokan harinya.
Manakala penerbangan balik dari Guangzhou akan beroperasi setiap Rabu dan Ahad pada 3:20 pagi (Penerbangan OD663) dan tiba di Kuching pada 7:20 pagi.


