KUCHING: Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak hari ini menganjurkan Program Pengagihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenggok, Batu 12 Jalan Kuching–Serian sebagai salah satu inisiatif kebajikan bersempena bulan Ramadan pada Sabtu, 7 Mac 2026.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Kolonel (Kehormat) Haji Jumaat bin Haji Ibrahim, Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak merangkap Penasihat Jawatankuasa Penganjur Program yang mewakili Tan Sri Dato Sri William Mawan Ikom, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua Majlis Pengakap Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa syukur kerana program ini dapat dilaksanakan dalam suasana penuh keberkatan bersempena Ramadan yang merupakan bulan tarbiah, pengampunan dan pembentukan jati diri umat Islam.
Beliau berkata program pengagihan bubur lambuk dan bubur pedas itu bukan sekadar aktiviti memasak dan mengagihkan makanan, malah merupakan manifestasi semangat kesukarelawanan, khidmat masyarakat dan persaudaraan yang menjadi teras dalam pergerakan Pengakap.
“Program seperti ini mencerminkan pendidikan tidak formal dalam Pengakap yang membentuk ahli menjadi individu beriman, berakhlak mulia dan sentiasa bersedia berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut juga selaras dengan gagasan Community-Based Scouting yang giat diperkasakan di bawah kepimpinan Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Datuk Prof. Dr Mohd Zin Bidin yang menekankan penglibatan aktif ahli Pengakap dalam aktiviti kemasyarakatan.
Program yang bertemakan “Rahmat-Mu Dicari, Syurga-Mu Dinikmati” itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk warga SK Semenggok Padawan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Jawatankuasa Surau Kampung Jawa Semenggok serta masyarakat setempat.
Beliau turut memuji komitmen semua pihak yang terlibat kerana berjaya memperkukuh ukhuwah Islamiah serta menjalin kerjasama erat antara Pengakap dan komuniti setempat.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta ahli Pengakap yang telah bertungkus-lumus sejak awal pagi bagi memastikan kelancaran program tersebut.
Terdahulu, Mohamad Yusuf Haji Long, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Program menzahirkan pujian kepada pelbagai pihak khususnya pihak SK Semenggok kerana menyediakan tempat yang selesa untuk program ini serta memberikan bantuan tenaga dalam penyediaan dan pemasakan bubur.
Majlis yang berlangsung pada pagi itu menyaksikan pengagihan 1,100 bekas bubur lambuk dan bubur pedas kepada penghuni Rumah Seri Kenangan, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat, wakil Balai Polis, warga sekolah serta penduduk sekitar sebagai tanda keprihatinan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Sementara itu, Pengakap Petra Jaya yang diketuai Mohd Hanafi Ahmad, Pesuruhjaya Daerah Petra Jaya turut mengagihkan 1,000 bekas bubur lambuk. Pengagihan bubur lambuk itu dirasmikan oleh Zasran Abdullah, Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak.






