KOTA SAMARAHAN: Ketua jurulatih sukan catur Sarawak, Muhd Zulfaqar Abu Bakar, mendedahkan kurang pengalaman berentap di kejohanan luar menjadi punca skuad kendaliannya gagal meraih sebarang pingat pada temasya SUKMA XXI.
Menurutnya, tekanan menghadapi lawan yang rata-rata merupakan atlet kebangsaan ternyata bukan mudah.
Namun demikian, kredit patut diberikan kepada anak buahnya kerana berjaya memberikan saingan sengit di setiap acara yang disertai.
“Semua atlet dari negeri-negeri lain merupakan pemain kebangsaan, pemain-pemain yang sudah mempunyai pengalaman bermain di kejohanan luar.
“Kita akui, Sarawak kurang berpengalaman tapi prestasi kita adalah baik,” katanya kepada arena Suara Sarawak.
Sarawak gagal meraih sebarang pingat biarpun berpotensi menempa nama di beberapa kategori catur.
Namun demikian, mereka terkandas pada saat akhir untuk menambah pingat buat tuan rumah menerusi acara tersebut.
Tegas Zulfaqar, temasya kali ini menjadi pengalaman berharga buat anak-anak buahnya dalam persediaan kejohanan catur di peringkat kebangsaan mahupun yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Katanya, rata-rata pemain masih muda atau boleh dikatakan berpotensi untuk menjadi pelapis pada temasa SUKMA akan datang.
Bagaimanapun, katanya, kesemua atlet sedia ada digesa agar tidak terlalu selesa kerana akan ada persaingan dalam pemilihan baharu berdasarkan prestasi semasa pemain.
“Rancangan kita selepas ini mungkin hantar mereka ke kejohanan besar untuk mereka mengetahui prestasi sebenar mereka setakat mana.
“Kalau ikutkan keputusan prestasi sebenar, mereka berada di tahap yang agak jauh.
“Namun pihak kita telah cuba menaikkan tahap permainan mereka untuk berada di tahap di mana mereka boleh bersaing tapi itu tidak memadai.
“Kalau ikut keputusan, hanya kategori ‘blitz’ sahaja kita dapat bersaing dengan atlet kebangsaan,” ujarnya.



