KUALA LUMPUR: Barisan pemain SYFA ‘A’ mempamerkan peningkatan prestasi pada pusingan akhir Karnival Futsal Milo ‘Hidup Bola’ 2026 yang berlangsung di Gombak, Selangor, semalam.
Meskipun gagal melangkah ke kelompok 16 pasukan terbaik kejohanan berprestij itu, perkembangan positif jelas ditunjukkan pemain menerusi aksi yang dipamerkan dalam setiap perlawanan.
Pengurus pasukan, Ramelan Jamer berkata, peningkatan dari segi mutu permainan menjadi perkembangan positif buat keseluruhan pasukan.
“Berlaku peningkatan ketara dari segi mutu permainan semua pemain. Ia satu perkembangan positif buat pasukan secara keseluruhannya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Ramelan, penyertaan dalam kejohanan tersebut memberi peluang kepada pemain menimba pengalaman berharga menerusi aksi kompetitif sebenar.
Pada kejohanan itu, SYFA ‘A’ merekodkan satu kemenangan selepas menewaskan Terengganu 2-1 dalam aksi kedua peringkat kumpulan.
Pasukan itu bagaimanapun tewas tipis 3-2 kepada PFA Odin pada perlawanan pembukaan sebelum tunduk 2-0 kepada Pahang dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Terdahulu, Ramelan mewakili pihak pengurusan pasukan merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih dan pegawai atas komitmen serta sokongan diberikan sepanjang kejohanan.


