KUCHING: Bermula dari kilang papan, sebagai buruh bagi menyara kehidupan pada usia muda membentuk ketabahan, disiplin dan empati terhadap masyarakat yang kini menjadi asas perjuangan sebagai pemimpin.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar negeri, Datuk Len Talif Salleh berkata, perjalanan hidup penuh kekangan tersebut menjadi tonggak utama yang mendorongnya memperjuangkan pembangunan kawasan luar bandar agar generasi baharu tidak lagi melalui kesusahan yang sama.
“Saya pernah melalui zaman susah, tiada wang dan kekurangan kemudahan pendidikan. Dulu saya perlu menempuh perjalanan tiga hari dua malam hanya untuk ke sekolah menengah.
“Pengalaman bekerja sebelum melanjutkan pengajian perhutanan banyak membentuk kefahaman realiti hidup di luar bandar,” katanya dalam satu temu bual khas di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Ujarnya, peluang berkhidmat dalam Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) memberi ruang baginya menyumbang kepada pembangunan industri perhutanan negeri.
“Saya beruntung kerana dapat bekerja dalam bidang yang saya lalui sejak kecil.
“Pengalaman itu membantu saya memanfaatkan amanah politik untuk membangunkan Tanjung Manis sebagai zon pemprosesan perkayuan,” ujarnya.
Katanya, pengalaman hidup serba kekurangan menjadi motivasi utama untuk memastikan generasi kini menikmati peluang pendidikan dan ekonomi lebih baik.
“Apabila melihat potensi kawasan, saya yakin lebih banyak pembangunan dapat dilaksana dengan mandat yang diberi,” tegasnya.
Mengulas masa depan kawasan itu, beliau berkata Tanjung Manis memiliki kelebihan dalam ekopelancongan, budaya tempatan dan produk kampung.
“Kita perlu menyediakan prasarana menarik untuk merancakkan kedatangan pelancong.
“Dengan kemudahan diluluskan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita dapat memperkukuh infrastruktur yang menyokong pelancongan tempatan,” jelasnya.
Beliau berkata potensi Tanjung Manis sebagai pemangkin pembangunan wilayah Delta Rajang wajar diteruskan dengan penyediaan infrastruktur lebih baik.
Tambahnya, kesalinghubungan yang lebih baik membantu penduduk bergerak lebih mudah dan menikmati pembangunan lebih menyeluruh.



