MIRI: Pengamal media harus bersedia untuk terus belajar dan menyesuaikan diri dengan perubahan, khususnya dalam menghadapi kemunculan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, dunia kewartawanan masa kini bukan lagi sekadar menulis dan mengambil gambar, sebaliknya menuntut pemahaman teknologi baharu seperti AI agar kekal relevan.

“Wartawan hari ini ialah pencipta kandungan, penganalisis data, perancang digital dan kini, mereka juga perlu memahami serta memanfaatkan AI dalam tugas harian,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Bengkel Kewartawanan “AI in the Newsroom” anjuran Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) di Hotel Dynasti di sini hari ini.

Katanya, kemunculan AI turut membawa cabaran baharu termasuk isu etika, keselamatan pekerjaan, risiko penyebaran maklumat palsu serta keperluan untuk meningkatkan kemahiran secara berterusan.
Beliau juga memuji NSJA kerana proaktif mempersiapkan anggotanya menghadapi realiti baharu dalam bidang kewartawanan digital.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peranan media yang bebas, celik teknologi dan beretika amat penting dalam pembangunan masyarakat, terutama ketika Sarawak sedang menuju ke arah ekonomi digital berasaskan inovasi dan kelestarian.



