KUCHING: Sarawak bakal membuka lembaran baharu dalam dunia penerbangan melalui pengambilalihan syarikat penerbangan milik Malaysia Aviation Group (MAG), MASwings, yang dijadualkan pada 12 Februari ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengambilalihan ini adalah pencapaian besar yang akan mengukuhkan sektor penerbangan Sarawak.
Menurut laporan di laman portal Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini, ia juga diharap akan memperluas rangkaian hubungan ke destinasi domestik dan antarabangsa.
Menurut Abdul Karim, setelah Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani, perincian lanjut tentang perubahan yang dirancang akan diumumkan secara berperingkat.
“Untuk membangunkan sebuah syarikat penerbangan, sememangnya memerlukan masa dan perancangan yang teliti, dan ia bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dalam masa yang singkat.
“Setakat ini, MASwings hanya mempunyai beberapa pesawat, namun selepas pengambilalihan ini, kita menjangkakan perubahan besar, termasuk kemungkinan penjenamaan semula syarikat.
“Semua ini akan ditentukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual media selepas menyempurnakan Majlis Makan Malam Bersama Museum Cycling Community sempena Borneo Cross Border Cycling Tour 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.
Pada 13 Januari lalu, Premier Sarawak memaklumkan bahawa rundingan pengambilalihan MASwings telah dimuktamadkan.
Majlis menandatangani SPA antara Kerajaan Sarawak dengan MAG dijangka berlangsung pada bulan ini di sini.


