Penganggur ditahan miliki dadah

BAU: Seorang penganggur dicekup kerana memiliki dadah Syabu seberat 1.95 gram yang dianggarkan bernilai RM200.

Ketua Polis Daerah Bau, Dupeti Superintendan Poge Nyaon berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan di rumahnya, Jalan Jambusan di sini sekitar jam 11 pagi tadi.

Katanya serbuan yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Bau telah menjumpai dadah tersebut yang disimpan di dalam sekotak rokok.

“Suspek juga didapati positif Syabu dan amfetamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge menambah suspek yang juga mempunyai rekod kesalahan lampau akan dipohon reman esok.

Katanya suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952
dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda RM100,000 atau denda sehingga RM5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan Perintah Pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Dadah yang dirampas dari suspek.

Suara Sarawak