KOTA SAMARAHAN: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Mohd. Azri Johari berpuas hati dengan penganjuran Liga Samarahan 2026.
Kejohanan berprestij badan induk berkenaan telah melabuhkan tirainya semalam.
Sekali gus, menyifatkan penganjuran liga yang merupakan aktiviti utama dalam kalendar tahunan PBBS sebagai berjaya.
“Syukur kerana pengelolaan Liga Samarahan 2026 telah melabuhkan tirainya semalam. Ia penganjuran yang berjaya buat barisan exco yang juga jawatankuasa pengelola.
“Terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa serta Exco PBBS yang sentiasa komited dalam melaksana tugas sepanjang berlangsungnya liga berkenaan,” ujar Azri kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau akui, pengajuran Liga Samarahan 2026 bukan dianggap sebagai pentas untuk mencari juara. Namun, platform terbaik untuk mencungkil bakat baharu selain landasan mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pihak terlibat.
Azri turut mengucap terima kasih kepada semua pihak atas sokongan dan kerjasama diberikan dalam menjayakan pengelolaan Liga Samarahan 2026.
Beliau berharap kerjasama yang terjalin itu dapat terus berkekalan pada masa akan datang.
Sementara itu, LPFC sah bergelar juara Liga Samarahan 2026 dengan mencatat kesemua lima perlawanan untuk mengumpul 15 mata.
Naib juara milik pasukan GEN16 dengan 14 mata, mencatat empat kemenangan dan sekali tewas. Gedong Unity pula menduduki tempat ketiga, mengumpul tujuh mata, mencatat dua kemenangan sekali seri.
Dua perlawanan terakhir semalam berlangsung di Stadium Terbuka Kota Samarahan menyaksikan LPFC menumpaskan Gedong Unity (2-0) dan GEN16 menumpaskan D’Cederio FC (3-0).
Dalam pada itu, Azri menyatakan fokus pihaknya kini terarah kepada saingan Piala Presiden PBBS 2026.
Katanya, empat pasukan terbaik dari Liga Samarahan 2026 iaitu LPFC, GEN16, Gedong Unity dan Sambir Bistari layak secara automatik bersaing merebut piala tersebut.
Perlawanan melibatkan kesemua empat pasukan terbabit akan berlangsung pada 11 Julai ini.






