Pengarah AADK melawat mangsa, Juing Garai

SIBU: Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh mengadakan kunjungan hormat kepada anggotanya, Juing Garai yang cedera ditikam tempoh hari di hospital Sibu, hari ini.

Lawatan tersebut merupakan wakil daripada pihak pengurusan AADK bagi memberi bantuan kebajikan dan sokongan moral bagi meringankan beban mangsa.

Mangsa yang masih dirawat di hospital berkenaan dilaporkan sudah dalam keadaan stabil.

Dalam pada itu, Wan Madihi turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit di balai polis Sibu sebagai tanda penghargaan usaha pihaknya membantu mengesan suspek dalam kadar yang segera.

Terdahulu, Pembantu AADK, Juing Garai cedera di bahagian dada akibat ditikam oleh seorang klien, 18, di Pusat Khidmat Pemulihan dan Penjagaan (CCSC) AADK Sibu sekitar 1.30 tengah hari pada 1 September 2019.

Suara Sarawak