Teruna berani buka perniagaan syarikat bukan bumiputera

Trending

Pengayuh kayu hiasan abad ke-20

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Bagai sirih pulang ke gagang, begitulah perumpamaan yang sesuai untuk diberikan kepada artifak pengayuh kayu hiasan yang dibawa kembali ke negeri ini.

Pengayuh kayuh hiasan yang dibuat pada awal abad ke-20 itu menjadi artifak tambahan terbaharu di Galeri Brooke bersempena ulang tahun ke-140 Kubu Margherita.

Pengurus Muzium Brooke Salliza Sideni berkata, artifak tersebut merupakan salah satu pemberian kepada Rajah Muda Sarawak, Anthony Brooke pada tahun 1920 ketika beliau belayar ke hulu sungai.

“Ia merupakan hiasan yang diberikan kepada Anthony daripada salah seorang ketua suku kaum pada ketika dahulu.

“Namun kami tidak pasti sama ada ketua tersebut dari suku kaum Melayu, Iban atau Kayan dan tiada tarikh terperinci mengenai pengayuh kayu itu,” katanya ketika memberikan taklimat kepada media di Galeri Brooke, Kubu Margherita, Petra Jaya di sini, kelmarin.

Tambahnya, artifak tersebut telah dibawa oleh Pengarah Muzium Brooke Jason Brooke yang juga cicit kepada Anthony Brooke pada beberapa tahun lepas ketika beliau kembali ke negeri ini.

Baca lain  Hampir ditetak dengan parang kerana sayur paku

“Tiada maklumat yang spesifik berkaitan dengan sejarah artifak tersebut setakat ini, tetapi kajian sedang dijalankan untuk pihak kami mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan pengayuh kayu itu,” kata Salliza.

Jelasnya, melihat kepada jenis kayu artifak tersebut, ia berkemungkinan diperbuat daripada kayu berlian yang mempunyai daya tahan yang cukup kuat, keras dan sesuai untuk kerja pertukangan.

“Ini berkemungkinan juga mempunyai kaitan dengan Regata Sarawak kerana rakyat negeri ini satu ketika dahulu ramai yang tinggal berdekatan dengan sungai,” jelasnya.

Mengikut sejarah, Regata Sarawak berlangsung sejak tahun 1872 yang menjadi satu cara untuk meleraikan konflik antara suku kaum Dayak.

Rajah Charles pada ketika itu, menggalakkan kumpulan lawan untuk mencabar satu sama lain dalam perlumbaan perahu bagi membuktikan kegagahan dan kemahiran mereka.

Ia juga menjadi satu acara sosial penting bagi para pegawai luar bandar untuk berpeluang mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Ia sangat bagus untuk menjadi tatapan generasi muda kerana ukiran pada kayu ini yang sangat jarang untuk kita lihat kini.

Baca lain  Ekosistem pertanian moden Betong-Sarikei

“Apabila kami bertanya kepada segelintir masyarakat mengenai ukiran pada kayu ini, mereka percaya ia mungkin dari suku kaum Kayan, namun kami belum dapat memastikan ia lagi,” jelasnya.

Setelah mereka mempunyai maklumat yang lebih terperinci mengenai pengayuh kayu tersebut, Salliza berkata mereka akan berkongsikan perkara tersebut di laman web Galeri Brooke setelah kajian dijalankan.

Salliza menambah, mereka berharap dengan pertambahan artifak di dalam galeri itu, lebih ramai lagi orang awam yang akan melawat dan belajar untuk menghargai sejarah negeri.

“Ini adalah visi kami iaitu untuk memberikan banyak maklumat dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai sejarah kita,” tegasnya.

Untuk rekod, Galeri Brooke mempunyai lebih 100 artifak lama dan sejarah Sarawak yang berusia kira-kira 100 tahun dan ke atas.

Shalliza mendedahkan, antara artifak tertua di dalam galeri itu adalah duit syiling, setem dan pedang yang berusia lebih daripada 120 tahun.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

28 Mei 2023

Berita Terbaru