Pengeluaran Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 bukan semberono

KUCHING: Pengeluaran surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri yang terlibat dalam Skim SALCRA dibuat secara teliti.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pengurusan Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, ia perlu melalui proses seperti pengesahan maklumat daripada SALCRA, pengukuran di lapangan, penerimaan rasmi tuntutan, pameran jadual tuntutan dan proses penyediaan surat hak milik tanah.

Menurutnya, proses pengeluaran hakmilik tanah perlu dilakukan secara teliti kerana melibatkan ketidaktentuan hakmilik.

“Jabatan Tanah dan Survei bertanggungjawab memastikan integrity setiap surat hakmilik tanah yang dikeluarkan,” katanya ketika menjawab soalan ADUN N.1 Opar, Dato Ranum Mina.

Beliau memberitahu, bagi kawasan Skim SALCRA Sebako, sebanyak 1,153 lot telah diukur iaitu 702 daripadanya telahpun dikeluarkan dengan surat hakmilik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.

Bagi baki 451 lot katanya, pengeluaran surat hakmilik tanah kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

“Bagi mempercepatkan utusan pengeluaran surat hakmilik di skim-skim SALCRA, Jabatan Tanah dan Survei dan SALCRA telahpun mengenalpasti mekanisma bersesuaian untuk memastikan proses pengeluaran dilaksanakan dengan cepat dan lancar,” ujarnya.

Menjawab soalan tambahan, Len Talif yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang berkata, berdasarkan rekod Jabatan Tanah dan Survei setakat 30 September 2019, sebanyak 218 lot pertanian belum diukur di dalam Skim SALCRA Sebako dan dijangka akan mula diukur dalam masa terdekat.

Jabatan Tanah dan Survei dan SALCRA ujarnya, akan mewujudkan pasukan ukur khas bagi memastikan kerja-kerja pengukuran dapat dilaksanakan dengan segera.

“Mana-mana surat hakmilik tanah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri di dalam Skim SALCRA akan dikenakan sekatan no dealing untuk tempoh sepuluh (10) tahun dari tarikh surat hakmilik tanah didaftar.

“Sebarang permohonan untuk urusniaga seperti memindah milik dan mencagar tanah tersebut perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Tanah dan Survei Sarawak dan tiada bantahan daripada pihak SALCRA,” jelasnya.