TOKYO: Agensi berita Kyodo News melaporkan bahawa sebuah syarikat pemula AI di Jepun telah menghasilkan sistem pengesanan tulisan AI dan manusia.
Inovasi ini disasarkan untuk kegunaan meluas di sektor akademik tidak lama lagi.
Teknologi bernama “Puddin AI” ini dihasilkan oleh syarikat pemula Osaka, Valar Intelligence. Pengguna hanya perlu mengarang dan menghantar penulisan mereka terus di dalam platform berkenaan untuk dinilai.
Syarikat berkenaan mendedahkan Universiti Kyushu kini sedang menguji sistem tersebut dalam sesi kuliah mereka, sementara berpuluh-puluh institusi pengajian tinggi yang lain dilaporkan berminat dan sedang meneliti kemungkinan untuk menggunakannya.
Sistem ini menganalisis proses mengarang dengan memantau detik awal penulisan, kelajuan menaip dan sejarah suntingan teks mengikut turutan masa.
Melalui satu klik pengesanan, sistem akan mengukur sifat kemanusiaan artikel tersebut bersandarkan kira-kira 200 penanda aras, seperti kesalahan lazim manusia, waktu berhenti sewaktu menaip serta masa yang diambil untuk menyiapkan tugasan itu.
“Sistem ini boleh mengesahkan keaslian sesuatu hasil kerja, sekali gus membolehkan penilaian yang adil,” katanya.-Bernama-Kyodo



