Pengganas tidak memakai baju agama atau ras

SELEPAS insiden serangan dicopkan sebagai dilakukan pengganas supremasi di masjid an-Nur dan Linwood Islamic Center di Christchurch, Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern, 38, menunjukkan ketokohannya sebagai pemimpin yang berani dan empati.

Jacinda tanpa teragak-agak mengumumkan jenayah brutal di Christchurch dilakukan Brenton Tarrant, 28, warga Australia yang mengorbankan 50 jiwa umat Islam itu sebagai aksi terorisme.

Tidak semua pemimpin berani bertindak sepantas itu khususnya melibatkan kepentingan di luar lingkungan warna kulit yang sama dengannya, atau anutan kepercayaan berbeza dengannya.

Tidak ramai mahu memakai “baju ras dan kepercayaan” orang lain di badannya sendiri serta dalam sudut pandangnya, apatah lagi mahu memasukkan “kaki empatinya” ke dalam “kasut masalah” orang lain sesenangnya.

Bahkan, ada yang lebih pantas menjerit sekiranya keganasan yang sepatutnya tidak berbaju ras atau agama itu dilakukan oleh individu di luar kepentingan ras atau agama yang dimahukan mindanya sahaja.

Justeru, secara bijak juga kita sendiri perlu sedia untuk tidak menuding kepercayaan anutan Tarrant atau warna kulit yang “dipakainya”, sebagai penggalak atau “pesalah” bagi insiden tragis ini!

Kita juga teruja melihat tindakan Jacinda bukan kerana beraninya beliau mengutuk supremasi berkulit putih tersebut.

Kita “terpesona” melihat prinsip dipegangnya untuk mengatakan yang “buruk” sebagai jelik.

Kesannya, Jacinda mendapat ancaman bunuh disampaikan pelaku melalui media sosial.

“Anda berikutnya!” ungkap amaran oleh pengancam disampaikan melalui Twitter yang sarat berisi artikel anti-Islam dan luahan kebencian kepada Islam.

Tidak hanya bercakap, Jacinda bersikap keras menggubal peraturan segera dalam isu kepemilikan senjata dengan melarang penjualan senjata semiauto tentera dan senjata jenis serbu.

Penyerang ganas ini mengungkapkan latar belakangnya sendiri yang mempunyai rasa benci mendalam kepada imigran Muslim di negara tersebut.

Inilah puncanya dan menjadi “picu” bagi segala tindakan gila dan sindrom paranoia pelaku.

Membincangkan isu ini, lupakan dahulu perjuangan kemanusiaan lain dibawa Jacinda termasuk sokongannya kepada isu seperti LGBT dan lainnya yang mungkin mengganggu stem minda individu tertentu.

Menangani isu pembunuhan mengejutkan itu, Jacinda menyeru rakyatnya untuk saling menyayangi.

Di Wellington, 12,000 warganya dari pelbagai agama dan ras memenuhi lapangan, berdoa atas nama kedamaian mangsa dan meminta mereka yang ditinggalkan diberi ketabahan.

Malah, pada hujung minggu, warga Wellington pelbagai ras dan agama memakai tudung dengan ada yang berhijab sebagai solidariti dan simbol penghormatan kepada umat Islam.

Tidak perlu untuk menjadi pemuja Jacinda atau terlalu teruja dengannya, namun prinsip “kemanusiaan” dibawanya amat menginsafkan kita sebagai anak cucu Adam dan Hawa yang memandang penting setiap satu jasad ada nyawa perlu dipertahankan untuk berhak hidup menjadi manusia di muka bumi ini.

Jacinda sebagai manusia dan sebagai perdana menteri yang menjadi simbol sebuah negara – New Zealand – langsung terbang ke Christchurch menziarahi mangsa dan keluarga mereka.

Beliau memeluk keluarga mangsa dan membisikkan ke telinga mereka agar sabar dan tabah.

Bukankah itu ajaran agama?

Sangat ironi, ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menelefonnya dan bertanya apakah yang AS dapat lakukan?

Jacinda menjawab, “ramahlah kepada umat Islam”.

Manakala, Trump yang terkenal dengan sikap keras kepada umat Islam selama ini dan manusia dengan kulit “berwarna” hanya mampu berkicau di Tweeternya:  “I love New Zealand”.

Bagusnya masyarakat New Zealand khususnya Muslim tidak pula ada yang marah-marah kerasukan, ya betul bahawa api itu seharusnya dipadam dengan air.

Setakat ini, Jacinda memainkan peranan sebaiknya.

Masyarakat Islam New Zealand pula reda dengan semua yang berlaku berdasarkan ketentuan Allah.

Sememangnya secara moral, kesabaran itu ada batasnya, tetapi bagus untuk menjadi sepohon pokok yang sentiasa sudi memberi buah kepada pelemparnya yang melontar lalu menerjahnya dengan kayu atau batu!

Suara Sarawak