ARTIKEL

Penggantian segera untuk kekosongan jawatan doktor kontrak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA:  Kementerian Kesihatan (KKM) akan segera mengisi kekosongan jawatan doktor kontrak di klinik dan hospital kerajaan susulan penyerapan hampir 4,000 doktor kontrak ke jawatan tetap, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata langkah penggantian itu dilakukan bagi mengelak kekurangan kakitangan perubatan selain memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.

“Apabila masuk penempatan daripada houseman (doktor pelatih) kepada pegawai perubatan (MO), tentu ada penggantian selepas itu.

“Jadi insya-Allah semua itu kita akan pertimbangkan. Jangan bimbang kemaslahatan petugas kita, kita akan ambil prihatin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Kenali Ubat Anda Peringkat Kebangsaan 2023 bertema “Kenali Ubat Anda: Pembudayaan Literasi Kesihatan”, di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Hartal Doktor Kontrak (HDK) semalam yang memberi amaran masalah kekosongan jawatan di klinik dan hospital kerajaan bakal mengganggu kelancaran perkhidmatan kesihatan negara.

Beliau berkata Jemaah Menteri pada 1 April lepas bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa peringkat tertinggi yang menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, bagi menangani isu doktor kontrak.

Katanya jawatankuasa itu telah melakukan beberapa siri libat urus termasuk dengan Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (Schomos) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi melihat semua sudut, namun hasilnya belum dibentangkan kepada Kabinet.

Mengenai persidangan hari ini, Dr Zaliha berkata KKM mengambil maklum bahawa sebahagian masyarakat lebih gemar mengamalkan rawatan kendiri dengan membeli ubat di farmasi komuniti, kedai ubat tradisional dan pembelian dalam talian. 

“Tanpa pengetahuan yang mendalam mengenai penyakit dan kesesuaian ubat yang diambil, pengguna berisiko terdedah kepada kesan mudarat yang membahayakan kesihatan mereka,” katanya. 

Justeru, katanya program berkenaan mendidik masyarakat supaya bijak membuat keputusan tentang kesihatan mereka serta tidak mudah terpedaya dengan iklan atau individu yang memberi janji manis, terutama yang melibatkan penyakit kronik serta mengandungi kenyataan superlatif seperti terbaik, berkesan, dijamin selamat dan mujarab.- BERNAMA

BERITA LAIN

PRN Melaka: 79 calon bertanding

Seramai 79 calon daripada pelbagai parti, gabungan politik dan Bebas disahkan layak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang berlangsung pada 14 Nov.

BERITA TERBARU

93 pemimpin pengakap perkukuh kepimpinan

KOTA SAMARAHAN: Seramai 93 pemimpin pengakap dari seluruh Sarawak menyertai Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 3A dan 3B bagi memperkukuh kemahiran serta keupayaan mereka membimbing generasi

DBKU percepat kelulusan lesen kepada 32 jam

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berjaya mempercepat proses kelulusan lesen perniagaan kritikal daripada 150 hari kepada 32 jam, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Platinum