PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menghentikan pembayaran Elaun Tugas Pentadbiran Sekolah (ETPS) kepada 2,504 Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) yang tidak lagi memenuhi syarat kelayakan susulan penggredan semula sekolah menengah, mulai November ini.
Menurut kenyataan KPM, tindakan itu dilaksanakan bagi mematuhi peraturan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang menetapkan hanya GKMP di sekolah menengah Gred A layak menerima ETPS berjumlah RM120 sebulan.
“Perubahan taraf gred sekolah menengah berkuat kuasa 11 Januari 2026 berdasarkan tiga kriteria, iaitu enrolmen murid, bilangan penghuni asrama dan peringkat pendidikan.
“Hasil penggredan semula itu menyaksikan sebanyak 339 sekolah menengah dinaik taraf daripada Gred B kepada Gred A, manakala 626 sekolah menengah diturunkan taraf daripada Gred A kepada Gred B.
“Perubahan berkenaan turut memberi kesan kepada 3,860 penyandang GKMP di seluruh negara,” katanya.
Sehubungan itu, KPM memaklumkan pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak kesatuan dari Mac hingga Julai 2026 bagi membincangkan isu kelayakan elaun berkenaan.
Dalam sesi tersebut, pihak kesatuan mencadangkan agar rayuan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan GKMP di sekolah menengah Gred B turut layak menerima ETPS.
Susulan cadangan itu, KPM telah mengemukakan surat rayuan kepada JPA pada 13 Ogos lalu.
Bagaimanapun, JPA menerusi surat bertarikh 23 September 2026 memaklumkan bahawa rayuan berkenaan tidak dapat dipertimbangkan.
Dalam perkembangan berkaitan, KPM akan membayar tunggakan ETPS pada 2027 kepada 1,356 GKMP yang bertugas di sekolah menengah dinaik taraf kepada Gred A.
Sementara itu, bagi 2,504 GKMP yang tidak lagi memenuhi syarat kelayakan, KPM akan melaksanakan penyelarasan bayaran balik ETPS secara berhemah bagi mengelakkan guru terbabit terbeban.
Dalam pada itu, KPM menegaskan komitmennya untuk terus memelihara kebajikan guru dan bekerjasama dengan semua pihak, termasuk kesatuan serta agensi berkaitan, demi kesejahteraan warga pendidik.






